Sabtu, Mac 29, 2008

Cintaku Pada Yang Satu

I love you only to You. Prasa inilah yang sentiasa kita dengar bila orang sedang bercinta atau asyik maksyuk. Diluahkan tanpa batasan waktu dan tempat. Rasa gembira dan seronok yang teramat sangat. Bilakah akan dapat berjumpa. Jika boleh selalu. Atau kalau dapat perlu ada sentiasa di samping pada setiap waktu. Demi membuktikan rasa cinta diri ini rela berkorban apa saja. Jangan halang perasaan ini. Tembok besar kalau dibina boleh runtuh. Kuasanya amat kuat seperti sebutir bom atom versi baru. Sebaliknya tolonglah suburkan cinta ini agar menjadi syurga yang abadi. Oh, tak sabar rasanya aku mendekati Dia. Dah lama aku mencintaiNya. Sejak aku kecil lagi! Hingga sekarang rasa rindunya tambah membara. Bilakah akan berakhir? Yang pastinya tanpa penghujung. Itulah Cintaku Pada Yang Satu.

Cintaku padaMu tidak ada tolok bandingya. Aku malu bila diri ini kadang-kadang tidak sepenuhnya memuja dan mendekatiMu khususnya bila mengenangkan masa lampau. Dulu mungkin ilmu kurang menyebabkan kekuatan melaksanakan suruhanMu tidak sampai ke tahap selayaknya. Persekitaran dan latar belakang di antara faktor melalaikan diri ini daripada mengingatiMu ya Allah secara lengkap dan sewajarnya. Dalam erti kata lain masih banyak kekurangan bakti dan ibadahku terhadapMu ya Allah. Bilakah agaknya aku boleh menampung kekurangan itu. Ya Allah berilah kesempatan yang lebih untukku membayar hutang-hutang itu tanpa ada bakinya lagi. Aku berdoa kepadaMu semoga cintaku selepas ini akan membawa diri ini ke syurgaMu. InsyaAllah.

Cintaku Pada Yang Satu akan lebih menyemarakkan cinta-cinta kepada yang lain. Allah huAkbar, begitu agungnya rahmat dan nikmat yang telah diberikan kepada umatMu. Kecintaan kepada NabiMu Muhammad saw menjadikan hati-hati umatMu begitu asyik dan rindu yang tiada penghujung. Panduan dan penunjuk jalan dari kegelapan membuatkan hidup umatMu lebih terarah kepada kejayaan hakiki seperti yang ditentukan olehMu ya Allah. Kitab Al-Quran adalah mukjizat dan banyak mempunyai hikmah dan ianya penunjuk jalan yang mutlak bagi kejayaan di dunia dan akhirat.

Dimanakah aku boleh mendapat keagungan cinta ini: Ya Allah aku bermunajat kepadaMu, agar diberi kekuatan dan kesempatan untuk lebih dekat denganMu ya Allah. Aku mohon keampunan dari segala dosa yang telah dilakukan dan aku juga memohon agar semua amalan dan ibadahku diterima olehMu ya Allah.

Aku Cinta PadaMu Yang Satu Ya Allah!

Khamis, Mac 27, 2008

Hidup Susah, Berdikari Mematangkan Diri

Semua orang bercita-cita hidup senang. Kalau boleh terus jadi senang. Semua keperluan ada. Tak payah susah-susah mencarinya. Tahap kesenangan yang hendak dicapai tentulah mempunyai kekayaan yang banyak. Kalau ada duit mesti juta-juta, kalau ada rumah mesti besar atau banyak-banyak, kalau harta biar bertimbun, kalau saham sebut saja syarikat, kalau tanah dimana-mana saja ada namanya, kalau isteri mesti cantik dan lawa atau ada dua tiga, kalau sahabat biar kurang, kalau main mestilah golf, kalau pakai kereta tentu yang mahal-mahal, kalau isteri ada perhiasan emas sepuluh tak main, kalau melancung tak main dalam negeri, paling koman Singapura, kalau boleh ada jet sendiri, ada pengawal peribadi dan banyak lagi yang tinggi-tinggi capaianya.

Mungkin orang meletakkan kesenangan yang tidak hakiki sebagai matlamat tanpa menyedari bahawa kesenangan itu palsu belaka. Barakahnya mungkin tidak kesampaian kerana tidak disetai dengan memohon rahmat dan keampunan dari Allah swt. Kesusahan dan masalah hidup yang ditempuhi berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Untuk mencapai matlamat masing-masing pastilah berbeza dari segi tindakan dan usahanya. Ada yang dapat menyelesaikannya sendiri dan ada yang memerlukan pertolongan orang lain. Tahap tindakan, kreativiti, idea, cara berfikir dan usaha melaksanakan aktiviti-aktiviti selalunya akan menjadikan seseorang itu lebih berdikari. Seterusnya dengan mengalami pelbagai rintangan dan halangan yang sentiasa ditempuhi bersama masa yang berjalan pastinya akan mematangkan kehidupan seseorang. Secara peribadinya seseorang itu akan lebih bersyukur kerana apa yang dilaluinya dapat dilaksanakan dan diatasi dengan mudah kerana pengalamannya sentiasa bertambah dek kehidupan yang susah itu.

Ada orang terus jadi senang kerana mewarisi harta keluarganya. Dari satu segi memanglah mudah kepadanya bagi mendapatkan hasrat dan matlamat tercapai. Maklumlah bila ada duit atau harta yang banyak semuanya boleh dibuat dengan mudah. Unsur cabaran kepada mereka mungkin kurang atau tiada langsung. Sifat berdikari juga tidak dapat dialaminya. Seterusnya kematangan diri memerlukan masa yang lebih lama berbanding dengan orang hidup susah. Dari segi emosi mungkin kurang stabil berbanding dengan orang yang biasa menghadapi masalah yang timbul kerana hidup susah. Apa yang penting ialah seseorang itu perlu bersyukur jika matlamt hidup telah tercapai atau mudah dikuasai. Mereka yang susah selalunya lebih merasai rahmat Allah yang dikurniakan kepada mereka berbanding dengan mereka yang hidupnya lebih senang.

Peritiwa dan pengalaman yang banyak dialami oleh mereka yang susah sering menjadi peristiwa pahit manis yang mesti dikenang. Rasa puas akan ada pada mereka. Nostalgia ini akan menjadikan kehidupan mereka lebih seronok. Masalah yang mendatang tidak akan mengganggu mereka kerana mereka boleh menggunakan pengalaman yang lepas sebagai panduan bertindak.
Kesimpulannya bukanlah kira mohon menjadi susah akan tetapi kesusahan dan masalah itu perlu ada untuk kita tangani sewajarnya. Akan wujudlah ciri-ciri kreativiti, innovatif dan proaktif dalam diri seseorang. Semua ciri itu akan memberi keyakinan yang lebih dan itulah sebenarnya sifat matang yang dikehendaki.

Akhir sekali marilah kita sama-sama elakkan dari kemiskinan dan kesusahan yang boleh membawa kepada kekufuran dengan berdoa kepada Allah supaya diberikan kita jalan untuk memperbaiki dan mengatasinya. InsyaAllah Tuhan bersama orang yang patuh dan bertaqwa.

Ahad, Mac 23, 2008

Empat Puluh Tahun Bersama Taitoni Airmaster

Tidur baring bersama. Ke hulu ke hilir bersama. Dialah teman hidup yang bayak membantu dalam berbagai aspek kehidupan ini. Sayangnya tak ubah seperti kekasih pertama ditemui. Ku jumpa dirinya di Kuantan sekitar tahun 1968 sewaktu aku melanjutkan pelajaran ketingkatan enam di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Kuantan. Lama juga aku bercita-cita memilikinya. Dengan izin Allah dan dengan bantuan biasiswa yang dikurniakan sebanyak RM40 sebulan dapatlah aku meminang Taitoni dengan maskahwin RM60 tunai. Pada waktu itu dikira agak tinggi jugalah perbelanjaannya. Ianya tidak menjadi halangan untukku memilikinya. Maklumlah kasih sejati sudah lekat dihati. Sayangku pada Taitoni Airmaster menyemarakkan kasih tiada tandingannya. Entah mengapa hati ini sangat terpaut padanya. Kenangan manis selepas itu pastinya menggamit banyak nostalgia yang tidak dapat dipadamkan oleh mana-mana peristiwa kecuali satu. Peristiwa yang satu itu akan didedahkan dalam blog ini bila tiba masanya.

Tempoh masa 40 tahun memanglah lama. Kalau manusia matangnya sudah sampai tahap maksima. Empat dekad bersamanya banyak memberi impak positif kepada perjalanan hidup dari dulu hingga sekarang. Manakan tidak selepas itu kita diburu masa. Tidak boleh lalai dan leka sedikitpun. Peperiksaan semi peperiksaan akan dilalui, di antaranya STPM, peperiksaan universiti setiap tahun, persediaan kekuliah, keperpustakaan, temujanji dengan pensyarah, studi petang dan malam, ikuti jadual gerko, riadah, santai dan menonton TV atau wayang dan lain-lain semuanya memerlukan khidmat Taitoni.

Semata cuti penggal persekolahan atau cuti universiti aku takkan lekang berdamping dengan nya. Selalu ke bawa bekerja seperti menoreh getah, cari buah, memancing, cari rotan, menggali lobang tanaman getah, bermain bolasepak, takraw, bola tampar, hoki, tenis, badminton dan bersiar-siar. Nak tahu bagai menjaganya untuk tidak rosak dan mengelakkan kena air, ia dibungkus dalam plastik dan diikat kemas khususnya bila dibawa menoreh atau memancing.

Bukan senang untuk menjaganya dari rosak dan hilang. Empat puluh tahun bukan sekejap masanya. Memang adalah masa dan ketikanya ia hilang kerana tersalah letak, kadang-kadang lenyap sampai tiga empat bulan. Taitoni juga pernah rosak dan tak berfungsi. Jadi terpaksalah hantar servis dan diperbaiki. Setakat ini banyaklah juga ongkos yang perlu dikeluarkan. Agaknya tak kurang dari RM300. Hingga kini tali asalnya telah ditukar sekali kerana tali asal tidak berfungsi dan rosak. Dari segi rupa paras memanglah nampak sedikit pudar. Maklumlah umurnya telah lanjut. Walau bagaimana pun harga dan nilai semasa rasanya tak jatuh dari RM60. Sudah dikira antik katakan.

Tuan-tuan nak tahu walau pun ada sahabat baru seperti Citizen, Rado, Camel dan Timex, tapi tak sama dengannya. Rinduku padanya tetap berbeza kerana nostalgia bersamanya begitu lama masanya. Jasa dan kesetiaanya tidak boleh dipertikaikan. Dimana akan ku cari ganti, kata seniman agung. Sebenarnya ganti telah ada lama di sisi.....

Sabtu, Mac 22, 2008

Antara Karamah, Irhas dan Mukjizat

Kepada menusia biasa seperti kita ini mungkin tak bertemulah dengan pemberian ciri-ciri Karamah, Irhas dan Mukjizat tersebut. Tetapi perkara-perkara tersebut tidak mustahil dialami atau dimiliki oleh orang-orang soleh dan bertaqwa. Untuk lebih jelas marilah rujuk kepada keterangan ketiga-tiga tahap pemberian istimewa Allah tersebut kepada hambaNya yang dikehendaki:

Karamah atau Keramat

Keramat adalah perkara-perkara luarbiasa yang berlaku kepada hamba Allah yang beriman denganNya dan taat kepada perintahNya. Orang yang beriman dan taat kepada perintah Allah ini dapat melakukan perkara-perkara luarbiasa. Namun begitu ia tidak pula mengakui dirinya Tuhan, Nabi atau wakil Tuhan.

Salah satu daripada contoh keramat ialah perkara luar biasa yang berlaku kepada Khalifah Umar ibn al-Khattab. Pada satu hari ketika beliau sedang berkhutbah jumaat di atas mimbar masjid, ia terlihat tenteranya sedang dikepung oleh musuh, sedangkan medan perang watu itu jauh dari tempatnya. Beliau pun berkata: "Naiklah ke atas bukit". Perkataan Umar itu dapat didengar oleh tenteranya di tempat terkepung. Merekapun naik ke atas bukit. Apabila tentera ini pulang membawa kemenangan, mereka menceritakan kepada orang Islam di Madinah apa yang terjadi. Mereka benar-benar telah dapat mendengar kata-kata Umar yang menyuruh mereka naik ke atas bukit itu.

Tuajuan Allah memberikan keramat kepada seseorang yang tertentu ialah untuk memualiakan hamba yang berkenaan kerana teguh imannya dan taat setianya kepada perintah Allah dan Rasul.

Keramat kubur, keramat orang-orang fasik, keramat pokok-pokok besar dan sebagainya yang dipercayai oleh sebilangan masyarakat kita hari ini adalah salah dan tidak benar belaka. Kepercayaan demikian boleh membawa kepada syirik yang perlu dijauhi.

Irhas

Irhas ialah perkara-perkara luarbiasa yang berlaku kepada diri orang yang akan menjadi Rasul, tetapi sebelum ia menerima perlantikan menjadi Rasul.

Antara contoh-contoh irhas ini ialah ketika Nabi Muhammad (saw) dan Maisarah pergi berniaga ke negeri Syam bersama kabilah Arab yang lain. Di mana Nabi dan Maisarah berada, mereka dipayungi oleh segumpal awan untuk melindungi mereka dari kepanasan. Kejadian ini berlaku semasa Nabi belum diangkat menjadi Rasul. Begitu juga Nabi Isa (as) boleh bercakap sewaktu ia masih bayi.

Tujuan Allah mengurniakan irhas ini ialah untuk menarik pandangan orang ramai bahawa akan diutuskan tidak lama lagi seorang Rasul Tuhan yang akan membawa petunjuk agama suci kepada umat manusia.

Mukjizat

Mukjizat adalah perkara luar biasa atau perkara ganjil dikurniakan Allah kepada para Nabi dan Rasul. Tujuannya ialah untuk menjelaskan kepada manusia bahawa orang yang mendakwa dirinya sebagai Rasul dan mempunyai mukjizat tersebut maka dakwaannya itu adalah benar.

Mukjizat tidak boleh ditandingi oleh sihir atau sebarang kepandaian manusia, kerana ia adalah kurniaan Allah bukan kerana sebab-sebab kepandaian atau keahlian manusia. Oleh itu manusia tidak boleh mengetahui rahsia dan sebab-sebab berlakunya perkara itu.

Mukjizat terbahagi kepada dua jenis iaitu Mukkjizat Hissi dan Mukjizat Maknawi. Mukjizat Hissi ialah mukjizat yang dapatr dilihat dengan mata kasar atau yang dapat dialami oleh pancaindera yang lima. Contohnya seperti mukjizat Nabi Ibrahim (as) yang dibakar tidak hangus, mukjizat Nabi Muhammad (saw) terpancar air dari celah jarinya, dsb.

Orang-orang yang berada diwaktu dan di tempat berlakunya mukjizat-mukjizat ini dapat menyaksikan dengan mata mereka bagaimana tubuh badan Nabi Ibrahim (as) yang dibakar oleh kaum Namrud. Walaupun unggun api besar dan apinya pula menyala menjilat-jilat, tetapi tubuh badan Nabi Ibrahim (as) tidak hangus. Begitu juga orang ramai dapat melihat dengan jelas bagaimana air terpancar keluar dari celah-cerah jari Nabi Muhammad (saw). Orang ramai dapat minum air tersebut hingga hilang dahaga mereka dan dapat mangambil wudhuk.

Mukjizat Maknawi pula ialah yang hanya dapat difahami dengan daya akal fikiran. Mukjizat jenis ini memerlukan kajian dan penelitian kerana ia tidak dapat dimengertikan dengan kekuatan pancaindera melainkan menggunakan akal fikiran menurut neraca yang sihat dan kajian yang sempurna. Mukjizat jenis ini dinamakan juga Mukjizat 'Akli.

Mukjizat al-Quran adalah satunya Mukjizat Maknawi. Kandungan tatabahasa dan susunan ayatnya sangat indah, yang hanya dapat diketahui apabila seseorang mempelajari dan mengkaji al-Quran itu. Semua manusia tidak dapat mengarang sebuah kitab yang menyerupai kitab al-Quran.

Allah hanya mengurniakan Mukjizat Hissi kepadea Rasul-rasul yang terdahulu. Kepada Nabi Muhammad (saw) dikurniakan kedua-dua mukjizat tersebut.

Jumaat, Mac 21, 2008

Antara Buah dan Burung

Teringat saya semasa kecil khususnya di sekolah rendah dan menengah, antara buah dan burung ini memang menjadi tarikan dan tumpuan kumpulan kanak-kanak terutamanya selepas waktu sekolah, cuti hujung minggu dan lebih menyeronokkan sepanjang musim cuti persekolahan. Semasa itu dua perkara inilah yang mendominasi tumpuan kanak-kanak masa itu. Dulu mana ada television, radiopun jarang-jarang, komputer alias internet jauh sekali. Sekali sekala adalah pertunjukan pentas atau tayangan wayang public resen (publication?). Itupun bila nak adakan pilihanraya atau pemimpin datang melawat dan berkempen. Atau bila ada sultan datang. Adanya buah dan burung ini menyebabkan anak-anak masa itu terpenuh dari segi aktivitinya, nakalnya jauh lebih rendah dan kurang berbanding sekarang. Kreativiti mereka juga tak kurang. Mereka boleh buat sendiri lastik, jebak pemikat burung, jerat, dan lain-lain. Pasal ambil buah mereka sangat cergas dan tiada masalah. Kalau musim buah tak laparlah mereka.

Jadi sepanjang tempoh itu nostalgia buah dan burung ini sentiasa mengisi benak saya dan rakan-rakan seangkatan masa itu.

Berikut adalah nama-nama burung yang pernah dilihat, dipelihara, dibuat main hatta dikorbankan semasa aktiviti melastik atau untuk dijadikan hidangan. Tentu disembelih dulu. Nama dan senarai diberi bukanlah nama saintifik tapi sekadar membezakan jenis burung itu sahaja:

  • Mulakan dengan burung kelicap, lepas tu merbah, puyuh, wak-wak atau kuak, pucung, murai, terkukur, merbuk, kedidi, helang, burung hantu, pipit, gagak, cawi, tabtibau, beberek, bot-bot atau got-got, bebarau, bangau, belibis, punai, merak, kuang, belatuk, ciak atau tempua, kakak tua, tiong, puling, serindik, merpati, tukang, kelengking, kenyalang, tuju, nuri.....

Begitu juga buah-buat yang saya makan masa kecil baik didapati di kampung atau dibeli dan juga makan di asrama, semua menimbulkan nostalgia yang indah dan menyeronokkan. Berikut adalah buah-buahnya:

  • Mulakan dengan buah tarban, lepas itu mencupu, setoi, kerekok, langsat, manggis, pulasan, durian, rambai, duku, rambutan lekang, rambutan telan, bedara atau mata kucing, salak, tepus, jambu batu, jambu keling, jambu bertih, jambu penawar, jambu air, jambu galah, kelubi, kelapa, mempelam atau mangga, pauh, kuini, perah, ketapi, rotan, betik, leletup, nenas, kedondong, melaka, perian, kepayang, kejijak, berangan, tembikai, petai, jering, keredas, terap atau tarap, dabai, durian sangka, limau, oren, apple, anggur, naga, limau bali, belimbing besi, belimbing buluh, kopi, pisang, pisang kaki, longan, lemba, kurma, tiin, ara, kiwi, lai.....

Sedikit senarai ikan-ikan yang juga menjadi sebahagian dari persekitaran kanak-kanak pada masa itu. Berikut adalah senarainya:

  • Ikan kaloi, toman, keli, sembilang, puyu, potak, bador, sebarau, sia, lampam, kelisa, kelah, patin buah, patin moncung, haruan, tilan, belida, tapah, seluang, baung, sepat, lepu, karin, telapia, kenerak, temelian, sisa nabi, buntal, belut, dan.....

Khamis, Mac 20, 2008

Pesan Kepada Pemimpin: Beramanahlah Apabila Menguruskan Dunia

Menurut hadis riwayat Muslim yang bermaksud: Daripada Abu Said al-Khudri r.a., Nabi bersabda; " Sesungguhnya dunia adalah manis dan indah. Allah telah menjadikan kamu sebagai khalifah di dunia. Lalu, Allah melihat bagaimana kamu beramal."

Pesanan Rasulullah juga dalam hadis riwayat al-Bukhari mengenai perlunya tidak bersikap ghairah terhadap dunia. Maksud hadis: Daripada Ibn Umar r.a., beliau berkata: Rasulullah s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda: "Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalan."

Oleh itu marilah kita berfikir sebelum kita melaksanakan tanggung jawab kita sebagai peminpin supaya selamat dan berjaya di dunia dan akhirat.

Mulakan Kerja Dengan Niat Kerana Allah

Amalan hanya akan diambil kira jika disertai dengan niat. Apa yang dimaksudkan dengan amalan ialah segala perkataan dan perbuatan yang dilakukan oleh mukallaf sama ada fardhu atau sunat, sedikit atau banyak.

Begitu juga jika kita berhijrah perlu meninggalkan sesuatu yang tak baik kepada yang baik. Maksudnya dalam hukum syarak ialah meninggalkan larangan Allah s.w.t.

Maksud Hadis Nabi riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin al-Khattab r.a., aku mendengar Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya semua amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat. Setiap orang dinilai dengan niatnya. Siapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan RasulNya. Siapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu"

Rabu, Mac 19, 2008

Remaja Kita Ke Mana Arah Tujunya

Disatu petang pada 19.3.08, kira-kira jam 3 , semasa saya bersantai di kedai kopi stesyen keretapi Padang Tengku, Kuala Lipis, enam orang pelajar dengan selamba sahaja menghisap rokok secara bergilir-gilir walaupun diperhatikan. Dengan berpakaian sekolah pelajar berkenaan tanpa segan silu menyalakan api rokok dari dapur kedai tersebut. Kemudian apinya dinyalakan sambung menyambung oleh rakan-rakan yang lain dengan gelak ketawa, seronok, bangga, nampak rasa tidak bersalahpun. Bila ditanya tingkatan berapa, jawabnya Tkt 4, hanya badannya saja kecil. Bila ditanya lagi sama ada takut atau tidak kepada guru polan sipolan, jawabnya biasalah, dan mereka mengatakan yang mereka boleh menghisap rokok di luar pagar sekolah. Menurutnya di dalam kawasan sekolah atau masa persekolahan memang mereka tidak merokok. Mentang-mentanglah mereka menganggap saya ini buta peraturan. Patuh kepada undang-undang, konon!

Yang sedihnya semua anak Melayu kita. Kalau pintar tu mungkin boleh dimaafkan sikit? Tapi tahu-tahu sajalah pelajar sebegini memang ada masalah disiplin dan masalah lemah dalam pelajaran. Pasti! Memang pasti. Boleh potong ayam. Tak nampakpun rasa hormat mereka kepada orang dewasa. Minta maafpun tidak. Entahlah apa nak jadi dengan remaja kita. Yang membimbangkan merekalah yang akan mewarisi generasi pemimpin akan datang. Merekalah pelapis warga negara Malaysia di era negara maju.

Itulah kisah segelintir pelajar luar bandar. Pelajar dan remaja bandar tentu lebih maju lagi. Adakah mereka tidak dikawal keluarga? Adakah mereka ada ibu dan bapa? Yatim piatukah mereka? Agaknya kesan dari pengaruh rakan, persekitaran, mass media, TV, Internet, kehidupan yang bebas tanpa kawalan atau kawalan yang dari ibu bapa atau keluarga. Peranan guru mungkin tak berkesan.

Kata orang nak menyelesaikan masalah perlu lihat puncanya. Ada juga orang mengatakan jika dapat punca sekalipun kalau persekitarannya masih tidak terkawal dan tidak kondusif maka susahlah jadinya, akan menjadi tidak berkesan segala langkah dan tindakan yang diambil. Nak harapkan sekolah sahaja tak mampu. Begitu juga nak harapkan keluarga masanya terhad juga kerana masa bersama keluarga terganggu dek ibu bapa yang bekerja. Apatah lagi nak harapkan masyarakat dan jiran, lagi payahnya, sekarang amat longgar dan bebas. Lainlah dizaman tok nenek kita dulu, jiran dan keluarga sekampung hubungannya rapat dan ada tali persaudaraan. Merekalah yang menjadi mata dan telinga kepada anak-anak remaja kita. Siapa berani buatlah, tup-tup dapat sepenampar, hadiah rotan dari ayah atau cubitan bisa ibu jika ada orang yang melapor kelakuan kita yang tidak senonoh. Dulu jaga tepi kain orang boleh diterima khususnya dalam mendidik anak-anak, tapi sekarang engkau-engkau, aku-aku. Jika kita memandai-mandai cuba melaporkan kepada ibu bapanya, belum pasti diberi ucapan terima kasih. Tindakan kita mungkin akan dicemuh dengan kata - apa peduli! Anak mereka baik. Begitu dimanjakan, begitulah rosaknya dan merosotnya akal budi masyarakat kita kini.

Bila dah teruk, dah banyak kes-kes jenayah dan banyak gejala sosial yang negatif baru orang mula tersentak dan menuding jari kepada satu sama lain. Akhirnya ibu bapalah yang menanggung risikonya. Guru-guru sekolah mungkin boleh lepas tangan. Peranan mereka banyak memberi kesan positif kepada pendidikan anak-anak atau remaja kita. Jika didikan agama di rumah dijadikan tumpuan, InsyaAllah dapat mengurangkan masalah-masalah ini. Bukan setakat merokok tapi semuanya boleh di atasi dengan mudah tanpa banyak masalah. Dengan menekankan solat saja boleh memberi impak yang paling berkesan. Tak percaya mulakanlah dari sekarang.

Orang juga berkata dengan adanya kegiatan berfaedah boleh mengatasi masalah remaja. Contohnya kegiatan kokurikulum, permainan, berpesatuan dan menyertai pasukan beruniform seperti dilaksanakan di sekolah-sekolah. Ianya hendaklah diteruskan di luar sekolah. Kita bersetuju tapi pendekatannya perlu mantap dan berkesan hingga mereka boleh menjiwai kegiatan itu dengan penuh yakin.

Mungkin adanya kegiatan yang terancang seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) atau seumpamanya boleh membantu mengurangkan masalah sebahagian remaja yang berpotensi negatif. Atau cara-cara lain yang boleh difikirkan:

  • membuat kerja sukarela
  • Memberi khidmat bantu masyarakat
  • melibatkan diri dengan NGO selepas alam persekolahan
  • memberi penghargaan kepada mereka yang menyumbang kebaikan kepada masyarakat
  • tawarkan latihan atau kursus secara percuma
  • mendekati keluarga remaja yang bermasalah
  • melalui pendekatan agama
  • program motivasi
  • beri peluang pekerjaan
  • peluang belajar hingga ke peringkat diploma dan ijazah

Menyentuh masalah ini, biasanya bila dah terantuk baru tengadah. Oleh itu marilah kita cuba elakkan remaja kita dari terjebak dengan gejala sosial, dadah, jenayah, dan sebagainya dengan berpadu tenaga melaksanakan program-program yang sesuai sebelum berlakunya atau merebaknya kes-kes berkenaan. Kata orang putih, prevention is better than cure iaitu mengawal lebih baik dari mengubatinya.

Selasa, Mac 18, 2008

Aku Cinta Muhammad

Muhammad yang kucintai adalah tak lain tak bukan junjungan besar Nabi Muhammad sallallah hualaiwassallam. Baginda adalah Nabi dan Rasul yang akhir sekali. Ayahnya bernama Abdullah dan ibunya bernama Aminah. Bangsa Arab dari suku Quraisy. Dilahirkan di kota Mekah. Setelah berumur 40 tahun baginda diangkat menjadi Rasul. Waktu mudanya menerima gelaran dari kaumnya sebagai Al-Amin, ertinya orang yang boleh dipercayai.

Setelah diisytiharkan menjadi Rasul beliaupun diburu dan disiksa oleh kaumnya menyebabkan baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah. Setahun sebelum berhijrah berlaku peristiwa Israk dan Mikraj ke atas dirinya. Peristiwa ini telah memberi peluang kepada baginda berjalan dari Mekah ke BaitulMuqaddis dan naik ke Sidratul-Muntaha menemui Allah dan menerima perintah sembahyang lima waktu. Setelah 10 tahun berada di Madinah baginda pun wafat ketika berumur 63 tahun.

Ada tiga keistimewaan yang dimiliki oleh Nabi Muhammad berbanding dengan Rasul-rasul terdahulu. Pertama, baginda adalah Nabi dan Rasul terakhir. Tidak akan datang lagi Nabi dan Rasul sesudahnya. Kedua, risalah baginda cukup sempurna yang ditujukan kepada seluruh umat manusia di dunia, baik yang berada dimasa hidupnya atau sesudah wafatnya hingga kehari kiamat. Ketiga, baginda adalah semulia-mulia Rasul berbanding dengan Nabi dan Rasul terdahulu.

Ya Allah beri aku kekuatan agar aku dapat menunaikan ajaran dan perintahMu sebagaimana disampaikan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Selawat dan salam ke atasnya tanpa henti lidah ini memohon safaat darinya. Ya Rasullah aku cinta padamu..berikanlah diriku kekuatan dan kenikmatan mengamalkan dan menunaikan ajaran Tuhanmu ya Muhammad.
Aku Cinta Padamu Muhammad

Seronoknya Bersara

Ramai orang mengatakan bersara itu menjemukan. Terasa jenuh dan puas bila menghabiskan masa kat rumah. Tidak lagi mengerjakan amalan rutin di pejabat. Apa yang selalu dibuat seperti urusan pentadbiran, melaksanakan majlis, mesyuarat, temujanji, menyelia, menyelaras aktiviti, dan lain-lain tidak lagi menjadi tekanan dan bebanan. Semuanya tidak lagi perlu melakukannya. Itulah yang dikatakan seronoknya bersara. Kalau adapun adalah kerja-kerja sedikit yang perlu dilakukan seperti melaksanakan tugas peribadi, bayar bil, lawat anak dan keluarga, menguruskan persatuan sukarela dan menghadiri kelas-kelas agama dan kemahiran yang dipilih sendiri. Nak kata menjemukan rasanya tidak. Tak cukup masapun ada. Maklumlah bukan duduk-duduk saja di rumah. Kerja-kerja dalam rumah dan di luar rumahpun kena buat juga, membersih, mengatur, membaiki, menghias hatta memasak sekalipun. Mana yang ada cucu mungkin ada kerja tambahan seperti hantar ke sekolah, jemput balik dan uruskan makan minum mereka. Nampaknya susah sikitlah nak jaga anak orang, lainlah anak sendiri, boleh marah-marah, herdik-herdik dan pukul-pukul. Tak begitu? Lain orang lain nasibnya. Rasanya tak adalah yang didera bila bersara. Bagi yang optimis dan memandang ke hadapan, ada sahaja rancangan mereka seperti memajukan projek yang dipilih, berkebun, menternak, bertani, buat rumah, jadi kontraktor, mengajar, belajar, buka syarikat sendiri, berniaga dan melaksanakan kerja-kerja kebajikan untuk masyarakat. Sekarang ini nak jadi YB pun susah. Dah tua tak laku lagi. Walau bagaimanapun nasiblah kadang-kadang ditawar orang jadi ahli lembaga pengarah syarikat atau ahli lembaha suruhanjaya, alhamdulilllah.

Di Malaysia, umur bersara 56 tahun. Di negara maju ada 58 tahun, 60 tahun, 65 tahun hatta hingga 68 dan 70 tahun. Rasa saya bagi negara seperti Malaysia ini sudah memadai jika dipersetujui umur bersara paling lewat 60 tahun. Tak semua orang segar dan kuat pada umur lebih 60 tahun. Pada umur 56 tahunpun sudah ada yang tak larat (tak rot). Sakit sana sakit sini. Banyak rasa malas dari rasa rajin. Jauh sekali nak menebas menebang. Membersih kebunpun sudah tak boleh dilakukan dengan sempurna. Kepada mereka yang banyak wang dan ada pengalaman mengurus mungkin lebih mudah. Upah saja, beres.

Dalam banyak kerja yang perlu dilakukan oleh orang bersara, dicadangkan supaya mendalami ilmu agama, meningkatkan lagi tanggung jawab kepada Allah, menolong orang dan banyak bersedekah dan lain-lain yang berkaitan hubungan kita dengan Allah dan alamnya. Bertaubat, bersyukur dan mesti banyak menyebut namaNya. Berdoa untuk kesejahteraan di dunia dan akhirat. Semoga diri kita, keluarga kita, masyarakat, negara semuanya dalam peliharaan Allah.

Nak tahu bahawa bersara itu benar. Anda bila lagi nak bersara. Kalau nak cepat bersara boleh mohon bersara awal. Apa yang menyebabkan kita seronok ialah MINDA kita, bersedia atau tak bersedia. Jika kita telah bersedia: Oh! Seronoknya Bersara.

Isnin, Mac 17, 2008

Manjaku Sayang

Ada tujuh manjaku sayang, enam berkaki dua dan satu berkaki empat. Yang berkaki dua tu tak mahu cerita di sini dah sebab memang aku paling sayang mereka itu, selepas Allah dan Rasul. Apa yang aku nak cerita ni pasal manjaku sayang yang berkaki empat tu. Al-maklumlah dia yatim piatu, dahlah terbuang dan dipinggirkan, tak ada pula yang sudi mengambilnya kecuali seorang. Siapa lagi, akulah yang baik hati tu (angkatlah sikit). Nak tahu ceritanya macam mana. Mari ikut aku meneliti kesah berikut:

Cerita bermula apabila aku pindah dari Kuala Lumpur ke Kuala Lipis, menyewalah di Taman Permai, rumah nombor 44, lot hujung. Kawasan luas jugalah tapi rumahnya agak sempit. Tapi untuk sekadar melelapkan mata tu bolehlah. Syukurlah ada tempat berteduh. Itu sajalah yang ada ketika itu.

Semasa tinggal di sini banyak peristiwa yang berlaku. Ada babi hutan masuk kawasan rumah, ada kera, ada pencuri masuk rumah, tandas sumbat, paip sumbat, tangki air bocor dan banyak lagi cerita yang menarik. Dalam banyak-banyak peristiwa itu agaknya tak boleh tandinglah dengan kesah si manjaku sayang yang menyerikan dan menceriakan lagi kehidupan sekeluarga di teratak sewaanku itu.

Mula cerita bila banyak kucing datang ke rumah untuk mencari rezeki. Seperti biasalah ada lebihan makanan adalah rezeki mereka. Pasal belas kasehan tak boleh lawanlah dengan mem aku. Sejak dulu-dulu lagi begitulah layanannya. Sebab itu kucing-kucing suka datang ke rumah. Dah banyak yang datang masa dulu, ada tompoklah, ada hitamlah, cicaklah, kuninglah, putihlah, jaboklah, banyak lagi.. dan akhir sekali simanja. Banyak juga nama lain diberi kepadanya. Enot, Cicak, Gemuk, Boyot begitulah ianya dikenali. Tapi yang paling glamour dan kekal hingga sekarang ialah Manja. Ceita berikutnya...

Manja ini di antara banyak kucing yang istimewa sifatnya. Nak tahu kelebihannya bacalah catatan berikut:

  • Berani masuk rumah dan dia buat macam rumah sendiri.
  • Pembersih kucingnya, sentiasa menjilat bulunya.
  • Tidur dalam rumah tapi tidak buang air merata-rata kecuali di luar.
  • Minta makanan bila lapar.
  • Berjalan bila orang tiada di rumah dan balik bila orang ada.
  • Sentiasa menunggu bila orang bali dari kerja.
  • Sensitif dengan orang merengit atau menjerit hingga boleh mencederakan.
  • Menunjuk bila ia mendapat tangkapan sesuatu seperti burung, anak ular, dll.
  • Tidak karenah pasal makan, ada frieskies dah cukup. Sekarang ni kena top up ikan sikit.
  • Mengiau bila nak keluar rumah terutamanya bila nak buang air.
  • Kenal semua orang di rumah, dan akan lari atau sembunyi bila orang luar datang.
  • Di luar rumah semua orang dianggap orang luar termasuk keluarga sendiri.
  • Suka makanan baru dan segar sahaja, yang busuk jangan harap akan dimakan.
  • Berada di mana orang berkumpul.
  • Sensitif dengan bunyi telefon, akan mengiau bila telefon berbunyi.
  • Suka bermain tali dari dulu hingga sekarang hingga kepenatan.
  • Mengejar kucing luar yang datang ke rumah.
  • Banyak kucing yang terpikat dengannya hingga sanggup melompat pagar tinggi.
  • Rupanya comel dan selalu menjadi hiasan telefon bimbit dan album keluarga.
  • Mandul dan tak beranak.
  • Bulunya cantik dan nampak gebu.
  • Berlari bila dipanggil makan.
  • Suka tidur bila kenyang dan akan jaga bila masa makan keluarga.
  • Aksi tidurnya melucukan dan mengagumkan.
  • Selalu menjemput aku atau isteri di bilik bila ia nak makan dan akan mengekori ke dapur.
  • Jadi teman memasak bila bulan puasa.
  • Seronok bila kita cuba mencari kutu dibadannya.
  • Tunggu orang sembahyang dengan penuh tertib dan sabar.
  • dan banyak lagi...
Keburukannya pun ada, tak payahlah cerita. Baiknya lebih banyak dari buruk. Tak digalakkan mencitakan keburukan orang. Tidak begitu!

Ahad, Mac 16, 2008

Selamat Hari Jadi: Bertambahlah Usia Kita.....

Detik berganti detik, jam berganti jam, hari berganti hari, kemudian bulan-bulan berlalu, tahun pula menjelma, maka bergemalah frasa Selamat Hari Jadi diucapkan oleh orang-orang tersayang, isteri, anak, menantu, saudara mara, rakan taulan hatta dari syarikat tempat kira melanggan perkhidmatan dengan ucapan tahniah melalui SMSnya. Terima kasih diucapkan kepada semua. Bertambahlah umur kita. Dah tahun keberapa agaknya. Yang muda-muda seronok menyebut sweet seventeen, sweet twenty ect, tapi yang dewasa-dewasa pula cuba merahsiakan sweet sour mereka. Malu konon bila dah umur dijamah usia lanjut. Wanita lebih merahsiakan umur mereka berbanding dengan lelaki. Entah apa tujuan agaknya. Mereka boleh merahsiakan berapa umur mereka hanya pada kawan-kawan dan bukan keluarga sahaja. Seronok tapi malu. Inilah yang menyebabkan tak telus, berahsia-rahsia dan ada sahaja alasan, dan agaknya itulah budaya kita.

Bila direnungkan dan diambil iktibar dari majlis dan keraian tersebut nyatalah memberi manfaat yang besar kepada kita semua, di antaranya:

1. Bila umur semakin tua dapatlah kita menilai sejauh mana amalan dan kebajikan yang dilakukan.

2. Memberi peluang kita bermuhasabah diri, apa yang perlu dilakukan atau tidak dilakukan.

3. Majlis hari jadi boleh merapatkan hubungan yang lebih akrab dikalangan keluarga dan silaturahim sesama rakan dan taulan.

4. Kekerapan berjumpa boleh menyelesaikan banyak masalah disamping mengurangkan jurang perbezaan antara mereka yang hadir.

5. Menjadikan majlis tersebut sebagai satu sejarah tersendiri seseorang dan keluarga.

6. Memberi kekuatan dan motivasi khususnya kepada orang yang diraikan.

7. Ia boleh mendekatkan diri kita dengan Allah, pencipta alam ini.

8. Kepada kanak-kanak ia lebih menyeronokan kerana hadiah yang diterima seperti wang dan barang-barang yang disukai.

9. Menggalakkan anakpanak menyimpan dan berjimat cermat sehinggalah ketarikh hari jadi yang akan datang.

10. Melatih kita merancang sesuatu majlis dengan baik dan berhemah.

Ya! Apakah umur kita dikira dari tahun hijrah atau masehi? Terpulang kepada yang meraikannya. Rata-rata mereka menggunakan tahun masehi bagi mengira umur masing-masing. Jika tahun hijrah digunakan sudah tentulah menjadi lebih tua umur kita. Jika umur kita 40 tahun dalam kiraan tahun masehi akan jadi 41 tahun dalam kiraan tahun hijrah. Ada moleknya pengiraan hari jadi kita dikira dalam tahun hijrah. Apa tidaknya kerana untuk mendidik anak mula sembahyang mulai umur 5 atau 6 tahun dan disuruh pukul pada umur 10 tahun dan wajib sembahyang pada umur baligh (15 tahun). Jika dikira menggunakan tahun masehi tentulah ada kerugiannya dari segi pelaksanaannya kerana masa yang berbeza.

Dalam amalan agama Islam tidak ada majlis sambutan harijadi ini, tapi ianya diamalkan kerana diharapkan ianya dibuat tidak bertentangan dengan syariat dan amalan agama. Perkara ini perlu diberi perhatian. Wallahualam!

Selamat Hari Jadi Ke 58 Papaku. Selamat panjang umur, sihat walafiat, murah rezeki, dan semoga berbahagia disamping keluarga tercinta.

Sabtu, Mac 15, 2008

Menumpaskan Syaitan Laknat

Syaitan ada di mana-mana hatta di dalam saluran darah manusia. Dia memang berjanji untuk mempengaruhi anak Adam dan akan cuba menyesatkan mereka. Oleh itu awaslah makhluk yang bernama manusia supaya jangan tertipu dan terpedaya oleh hasutan syaitan tersebut.

Menurut Imam Ghazali ada tiga cara dicadangkan bagi memerangi atau menghadapi serangan syaitan, iaitu:

1. Dengan mempelajari taktik tipu daya syaitan dan strategi serangannya.

2. Dengan tidak memberikan perhatian atau layanan kepada hasutan syaitan tersebut. Anggaplah hasutan dan seruan syaitan itu seperti salakan anjing. Anjing kian garang dan galak menyalak apabila ia diberikan perhatian atau tindak balas. Sebaliknya ia lebih cepat memberhentikan salakan apabila tidak dihiraukan.

3. Hendaklah lidah dan hati kita sentiasa menyebut nama Allah atau zikullah.

Rabu, Mac 12, 2008

Bila Minda Bersinar

Pesan kepada anak-anak tentang perlunya menjaga dan memelihara minda agar sentiasa bersinar. Bukan mudah untuk mencapai tahap minda yang matang, berpengetahuan, geliga, pintas, kreatif dan inovatif. Bagi mencapai tahap tersebut ia memerlukan masa dan pengorbanan yang banyak dari diri kita sendiri. Anak-anak perlu yakin dan bersungguh-sungguh berusaha memupuk dan menyediakan minda ke arah ciri-ciri positif. Minda ibarat bateri yang perlu dicaj dan dibuat perubahan kepadanya. Ia juga ibarat bekas kosong yang memerlukan diisi barang-barang yang berguna sehinggalah ia penuh. Sebenarnya minda tak mungkin penuh. Seperti pengetahuan lagi dicari lagi perlu diselidiki. Minda kita perlu diasah dan digunakan pada setiap masa. Orang kata bila minda bersinar, anak-anak akan menjadi seorang yang cerdik, pintar dan berhemah serta matang. Kejayaan diri akan mudah tercapai apabila minda yang bersinar memainkan peranan yang sewajarnya. Bagaimana caranya anak-anak boleh mencapai tahap minda yang bersinar:

  • bersungguh-sungguh belajar semasa persekolahan
  • jadikan membaca sebagai hobi atau menjadi tabiat
  • gunakan pelbagai media untuk meningkatkan pengetahuan
  • berkongsi idea sesama kawan-kawan
  • jadikan orang dewasa sebagai sahabat
  • jadikan ahli keluarga sebagai tempat rujukan dan menyelesaikan masalah
  • kemudahan internet sebagai sumber ilmu tetapi perlu ada kawalan
  • banyakkan menyertai kegiatan-kegiatan luar yang boleh menajamkan minda
  • menyertai kegiatan berpesatuan dan terlibat dalam pengurusannya
  • jadikan sikap diri berpositif dan rajin
  • menyertai ujian pelbagai bidang yang pelbagai
  • buat soalan dan jawab soalan tersebut dengan lengkap dan teliti
  • mengulangi kemahiran yang dikuasai dengan cara membuat berkali-kali
  • jangan putus asa jika gagal, teruskan usaha hingga berjaya
  • bahan bacaan yang dipilih perlu sesuai dengan tahap pengelibatan kita
  • bijak menggunakan masa dan penuhkan masa dengan aktiviti yangberfaedah
  • perlu berminat mendalami sesuatu bidang
  • berusaha menguasai pelbagai disiplin dan ilmu
  • belajar sepanjang hayat
  • tunaikan taggungjawab agama tanpa gagal
  • berdoa kepadaNya dengan yakin dan bersungguh-sungguh supaya minda dipelihara

Nantikanlah Minda Bersinar Setiap Pagi Agar Hidup Kita Sentiasa Ceria. Ayuh Marilah Kita Lakukannya.

Kenyataan Untuk Pemimpin

Berikut adalah kenyataan yang perlu dihayati dan diamalkan oleh semua yang bernama pemimpin:

  1. berniat jadi pemimpin kerana Allah
  2. tanggung jawab tugas mesti diutamakan
  3. penyelewengan tidak dilakukan semasa menjadi pemimpin
  4. perlu amanah, jujur dan ikhlas dalam tugas
  5. pemimpin mesti kaya budi bahasa dan merendah diri
  6. tidak mementingkan diri sendiri
  7. sentiasa bersama rakyat supaya mudah dihubungi
  8. suka menolong orang
  9. pemimpin mesti bijak, berpengetahuan dan mahir dalam pelbagai bidang
  10. pegangan agama mesti kuat
  11. berjimat dan berwaspada bila berbelanja wang awam
  12. banyak lagi ciri-ciri baik sebagai pemimpin (klik di sini )

Jika semua kenyataan di atas itu dihayati dan diamalkan anda layak mentadbir negara. Sesungguhnya anda dilahirkan ke dunia sebagai pemimpin....

Lima Perkara Sebelum Lima Perkara

Wahai anak Adam ingatlah lima perkara sebelum lima perkara berikut:
  • Hidup sebelum Mati
  • Sihat sebelum Sakit
  • Masa Lapang sebelum Sibuk
  • Kaya sebelum Miskin
  • Muda sebelum Tua
Oleh itu gunakanlah masa, tenaga dan hartamu kepada jalan Allah dan kebajikan demi kebaikan dirimu. Sediakanlah payung sebelum hujan. Insha Allah hidup akan diberkati Allah dunia dan akhirat.

Jatidiri Bangsa Musnah Dek Bahasa

Betullah orang mengatakan Bahasa Jiwa Bangsa. Budaya sesuatu bangsa sering dikaitkan dengan bahasa yang digunakan oleh bangsa tersebut. Tamadun hakiki selalunya merujuk kepada kemajuan bangsa yang tersebar dan berjaya dek bahasa ibunda yang digunakan oleh sesuatu bangsa itu. Perantaraan komunikasi bukan hanya merujuk kepada pengunaannya di pasar atau dalam masyarakat, akan tetapi saluran yang lebih penting ialah menjadikan bahasa tersebut sebagai medium dalam sistem pendidikan negara itu secara total dan menggunakannya secara wajib dalam urusan pentadbiran negara.

Di sesebuah negara yang mempunyai majoriti bangsa yang besar serta asal usul bernegara yang berasaskan penggunaan bahasa sesuatu bangsa yang dominan seharusnyalah meneruskan kelangsungan penggunaan bahasa kebangsaan negara tersebut, bukan menukar ganti kepada bahasa asing. Asas teras budaya wujud dan kekal terpelihara jika terus menggunakan bahasa rasmi negara. Sebenarnya sudah banyak bukti dibeberapa negara di dunia yang telah maju menggunakan bahasa ibunda mereka dalam semua aspek khususnya pendidikan. Mereka bangga dengan bahasa mereka. Semua rakyat bersatu memartabatkan bahasa rasmi negara mereka.

Jika kita cuba menggunakan secara sebahagian atau menyeluruh pastilah mendatangkan kesan kepada kemusnahan jatidiri bangsa berkenaan kerana sesuatu bahasa itu akan membawa bersamanya budaya bangsa yang menggunakan bahasa tersebut. Setidak-tidaknya minda bangsa negara yang mengimport penggunaan bahasa tersebut dijajah secara langsung dan tak langsung. Rakyat negara berkenaan sering dan suka mengagungkan bahasa asing. Mereka akan memandang rendah kepada bahasa dan bangsa mereka sendiri. Tidak hairanlah akan wujud ketidak-sepaduan bangsa sesebuah negara. Dalam erti kata lain wujud jurang perpaduan antara kaum yang ada dalam sesebuah negara. Matlamat negara akan sukar dicapai kerana tidak ada satu minat bersama dan sifat kepunyaan dikalangan rakyat sesebuah negara.

Penjajahan pemikiran dan budaya adalah faktor paling bahaya kepada keruntuhan sesuatu bangsa. Jatidiri bangsa akan berubah dan musnah dek penggunaan bahasa yang dikatakan banyak membawa kemajuan, tetapi sebenarnya telah membawa bersamanya unsur dan budaya kuning yang merosakkan. Biasanya orang hanya melihat kepada kemajuan luaran tapi pada hakikatnya budaya yang ada beransur terhakis dan musnah dek budaya baru itu.

Oleh itu marilah bersama mempertahankan penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua urusan kehidupan di negara tercinta ini. Kepada siapa kita nak mengadu jika tidak kepada diri kita sendiri dan bangsa kita kerana tidak ada lagi orang yang boleh mendengar dan membantu kita walaupun negara telah merdeka.

Selasa, Mac 11, 2008

Adriana Oh Adriana

Sejak azali rohmu ditentukan dan dicipta Allah rabbul jalil. Adriana adalah kesayanganbondanya ya Allah. Dia juga adalah buah hati datuk dan neneknya. Buah hati dan pengarang jantung ayahnya. Adriana menjadi perbualan seantero dunia dan dikagumi bapa dan ibu saudara tercinta. Semuanya kaget dan terpesona dengan penampilannya. Kelahiranmu menjadi inspirasi buat semua yang hadir disisi. Senyummu Adriana tidak bermakna tanpa tangismu. Bilakah akan berhenti keresahan ibu dan ayah. Tentunya menantikan waktu tidurmu.

Adriana oh Adriana! Kehadiran disisi keluarga begitu bermakna. Rasa sayang, kasihan dapat memberi keinsafan kepada semua ahli keluarga. Rasanya tidak sabar lagi menantikan bila Adriana boleh meniarap, merangkak, duduk, berdiri dan berjalan. Alangkah mudah dan seronoknya bila boleh berkomunikasi. Lega rasa hati ibu dan ayahnya. Seronok ibu, ayah saudara dan nenek serta datuknya bila Adriana boleh lari berlari nanti. Itulah Adriana oh Adriana.

Hilang rasa letih bila senyummu terukir. Mata galakmu membuat semua puas menatapnya.
Semua orang menanti bila Adriana mandi. Tangismu bergema seketika. Tapi paling seronok bila bilasan air terakhir meratai tubuhmu. Itu yang Adriana suka. Ah bila lagi aku nak mandi. Janganlah sekali sahaja sehari. Lemas dan rimaslah diri ini.

Berapakah berat saya sekarang? Angah, Andak, Utih, Uda dan Acu tentu tak dapat meneka. Maklumlah Adriana ini kuat minum, kuat tersedu dan ada sedikit kuat menangis. Kata orang tua-tua Adriana akan cepat besar. Itulah yang semua mahu. Tak payah lagi mendodoi, sibai menyibai dan membuat ayunan manja kepada Adriana ini.

Doakanlah Adriana cepat besar, sehat walafiat, bijak bestari, menjadi orang yang berguna, disayangi serta dicontohi keperibadian diri ini.

Adriana oh Adriana! Adriana Nurhusna.

Merindui Nostalgia Silam


Semakin hari semakin bertambah usia kita. Masa yang berlalu meninggalkan kita tanpa disedari. Tup-tup kita dah remaja dan dewasa. Amat dibimbangi oleh semua orang ialah usia tua. Istilah yang sering dipakai ialah orang lama dan berpengalaman. Tapi kita perlu sedar itulah fitrah kehidupan yang wajib dilalui oleh semua makhluk khususnya yang bernama manusia. Dengan rasa tanpa jemu semua orang dapat melaluinya dengan penuh persediaan dan kerelaan. Segala masalah dan rintangan yang dihadapi terpaksa dilalui. Ada yang kecundang dan ada yang berjaya. Masa menentukan. Nasib juga menentukan. Masing-masing dengan kekuatan sendiri dan sokongan yang ada telah memastikan kehidupan terus dimanfaatkan secara berfaedah.

Dalam usaha kita menghadapi segala onak duri kehidupan lazimnya akan mematangkan kita. Pada kebiasaannya tidak ada manusia yang tidak menerima tekanan sama ada dari segi mental atau fizikal. Maka masalah itulah dinamakan kehidupan. Kehidupan yang lampau sering mengimbau minda kita dan ianya merupakan detik-detik yang sangat menyeronokan serta bermakna kepada setiap diri seseorang. Merindui nostalgia silam (MNS) adalah sesuatu yang biasa dilakukan apabila seseorang berada dalam situasi gembira atau sebaliknya. MNS boleh meredakan tekanan dan dapat memberi idea baru jika diambil iktibar darinya.

MNS sering merujuk kepada peristiwa dan pengalaman yang dilalui masa lampau seperti berikut:


  • pengalaman dan peristiwa suka dan duka yang dilalui zaman kanak-kanak

  • kakuatan dan kelebihan yang ada pada diri seperti mahir berhujah atau pantas berlari

  • sering menerima hadiah dan penghargaan

  • lagu yang diminati atau filem yang paling dikagumi

  • penderitaan hidup seperti mengalami sakit teruk

  • melalui hidup yang susah dan serba kekurangan

  • nostalgia bersama rakan

  • kehidupan bersama keluarga dan adik beradik

  • pengalaman zaman persekolahan khususnya sekolah rendah dan menengah

  • pengalaman bekerja

  • pengalaman bercinta kepada mereka yang jiwang

  • pengalaman berkeluarga

  • sikap malas atau sebaliknya

  • kelebihan atau sejauh mana kita mencipta rekod kepada diri, keluarga dan masyarakat

Impian Menjadi Kenyataan

Ramai orang berkata impian sangat sukar untuk dicapai. Ada benarnya dan ada yang tidak mustahil boleh berlaku dan tercapai. Keyakinan dan kepercayaan kepada diri dan matlamat sangat penting dalam merialisasikan sesuatu impian dan cita-cita tersebut. Ramai orang tidak dapat membezakan antara tunjuk jalan dan destinasi yang hendak diikuti dan dituju. Jika kita jelas dalam kedua-dua perkara ini sudah pasti akan memudahkan impian kita dicapai.

Bagaimana caranya seseorang boleh memastikan impian mereka menjadi kenyataan, mungkin langkah berikut boleh diikuti:
  • apa matlamat dan cita-cita yang dikehendaki
  • sedia minda ke arah matlamat dan cita-cita tersebut
  • buat kerangka pemikiran ke arahnya
  • fikirkan jalan dan langkah yang sesuai untuk merialisasikannya
  • percaya kepada langkah tersebut
  • laksanakan dengan penuh yakin secara persendirian atau dengan bantuan orang lain
  • buat pembetulan segera jika tersasar
  • cekal sepanjang masa tindakan dilakukan
  • berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapainya
  • berdoa dan bertawakkal kepada Tuhan yang maha esa
Cubalah dan jangan tak cuba. Insha Allah cita-cita dan impian akan tercapai dengan mudah dan boleh memberi kepuasan maksima kepada kita.

Isnin, Mac 10, 2008

Mengekalkan Legasi Pemerintah

Kita tak perlu menunggu kita kalah atau kita berada dalam situasi kemenangan sekalipun, kita harus atau perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, amanah, jujur dan ikhlas.
Semua yang terlibat sewajarnya tidak patut berasa malu atau merasa rugi atau sia-sia membantu yang tidak bernasib baik dan memerlukan. Jika dulu kita mengumpul pendapatan dan harta, maka hari ini apa salahnya kita membelanjakan sebahagian daripadanya untuk amal jariah dan juga tanggungjawab khusus kita seperti semasa kita berkuasa dulu. Kesinambungan tugas mesti ada jika kita ingin terus berkuasa atau mengembalikan kuasa kita pada masa akan datang. Kesungguhan perlu diteruskan. Tidak pilih bulu dan tidak membezakan antara mereka yang menyokong dan tidak menyokong kita. Peruntukan yang ada boleh digunakan dengan penuh berhemah dan bertanggungjawab. Hubungan mesra dan personal touch sangat penting dan merupakan senjata ampuh untuk memenangi semula hati mereka.

Selain itu jika kita redha dan memohon kemaafan serta keampunan dari Allah swt dengan mendekatinya secara bersungguh-sungguh sekaligus memohon pertolongan Allah swt agar dapat mengembalikan kuasa kita, saya percaya kita dapat mengembalikan kekuatan dan legasi pemerintahan yang pernah kita rasai kejayaannya.

Jadikanlah malam untuk bermunajat kepada Allah. Teruskan siangnya berbakti kepada rakyat dengan ikhlas, insha Allah mendapat barokah dan kejayaan hakiki dariNya.

Memartabatkan Jawi

Telah lama penguasaan tulisan jawi dikalangan orang melayu semakin tidak diberi perhatian. Banyak faktor memungkinkan fenomena tersebut, diantaranya:
  • tiada usaha bersungguh-sungguh untuk menguasai tulisan jawi dikalangan mereka
  • pendedahan terhadap bahan bacaan jawi amat terhad
  • penekanan terhadap pembelajaran al Quran semakin tidak mendapat perhatian
  • menganggap tulisan jawi tidak penting dan tiada nilai komersial
  • tidak berminat kerana kurang pengetahuan terhadap sejarah dan penggunaannya
  • pembelajaran secara formal masih kurang diberi penekanan

Situasi sekarang sudah dianggap parah. Orang melayu Islam sepatutnya mahir dan menguasai tulisan jawi. Budaya dan latar belakang bangsa dan agama memerlukan penguasaan jawi oleh semua orang melayu supaya orang melayu Islam tidak kehilangan jati diri sebagai masyarakat dan penganut agama Islam yang berteraskan penguasaan dan penghayatan terhadap al Quran dan Hadis. Sebenarnya penguasaan tulisan jawi ada kaitan dengan tahap keislaman dan nilai rohani seseorang secara langsung atau tidak langsung. Pendapat ini boleh dipersoalkan tetapi hubungannya masih positif dan selari. Anggapan tulisan jawi ketinggalan zaman sebenarnya salah tapi tulisan jawi (atau arab) itulah yang sesuai dan relevan sepanjang zaman hingga hari kiamat.

Oleh itu mulai dari sekarang sama ada orang perseorangan atau agensi kerajaan atau swasta perlulah mengambil bahagian ke arah memartabatkan tulisan jawi dikalangan orang melayu khasnya dan dikalangan orang bukan melayu amnya. Di antara langkah yang boleh diambil oleh pihak-pihak berkenaan adalah seperti berikut:
  • banyakkan bahan bacaan jawi di sekolah-sekolah
  • masa pembelajaran jawi perlu diadakan secara khusus dan ditambah
  • adakan sijil tahap penguasaan jawi dikalangan pelajar
  • jadikan syarat dalam mendapatkan sesuatu pekerjaan khususnya perkhidmatan awam
  • temuduga wajibkan menguasai pengetahuan jawi
  • banyakkan pendedahan tulisan jawi dan bahan bacaan jawi diinternet
  • adakan kelas-kelas khas secara percuma
  • makluman dan edaran bacaan dalam tulisan jawi
  • tulisan jawi diwajibkan ke atas papan-papan iklan
  • letter head surat-surat kerajaan wajibkan ada tulisan jawi
  • banyakkan pertandingan-pertandingan yang berkaitan dengan tulisan jawi