Rabu, Disember 31, 2008

Harapan Kepada Anak-Anak

Kanak-kanak selalunya disayangi oleh kebanyakan orang khususnya ibu bapa. Rasa sayang dan kasihan meruntun hati dan perasaan ibu bapa dan orang dewasa terhadap mereka. Lebih-lebih lagi kanak-kanak itu anak mereka atau saudara terdekat mereka. Apatah lagi sifatnya manja dan comel. Tak kiralah jantina mereka lelaki atau perempuan. Senyuman kanak-kanak itupun sudah boleh mengubat hati yang gundah dan lara. Hati yang keras boleh cair dan lembut. Rasa letih boleh hilang. Sakit yang sedikit boleh terubat dek gerak geri dan keletah kanak-kanak yang disayangi. Jika ada orang dewasa dan ibu bapa yang bersikap sebaliknya, iaitu ganas terhadap anak-anak, suka mendera, tiada belas kasihan dan simpati, sebanarnya mereka itu bukanlah manusia yang dijadikan Allah sebagai khalifah di muka bumi ini tetapi manusia bertopengkan binatang. Apa salah mereka, kanak-kanak ini tak tahu apa-apa. Mereka memerlukan kasih sayang dan didikan yang sempurna dari kita semua khususnya ibu bapa dan guru-guru. Sepatunya kita lebih bertangung jawab dan lebih perihatin bagi memastikan keselamatan mereka terjamin dan masa depan mereka cemerlang dan menjalani hidup yang sempurna.

Semasa kecil mereka mengharap kepada kita orang dewasa supaya hidup mereka terbela. Anugerah Allah ini wajib dipelihara dan ditunaikan tanggung jawab yang ditentukan. Di sinilah perlu adanya kekuatan untuk memastikan semuanya terlaksana dengan sempurna.

Harapan apa kepada mereka bila mereka menjadi dewasa. Tidak memadai dengan berharap dan doa saja tanpa berusaha untuk memastikan mereka berjaya. Tidak begitu sukar untuk mendidik mereka. Jika ada kekuatan dan kemahuan dan iltizam yang tinggi, insyaAllah matlamat dapat dicapai. Ibarat kuih atau cake ia menjadi atau sebaliknya bergantung kepada adunan dan acuannya. Nak menjadikan mereka Majusi atau Nasrani semuanya terletak ditangan ibu bapa dan orang yang dipertanggung-jawabkan mendidik mereka. Nak jadikan mereka ahli korporat, saintis, teknologis, pakar dalam bidang yang diceburi, doktor, pendidik, penyelidik, dsb perlulah disedialan kemudahan dan keperluan yang sesuai. Jika bersungguh-sungguh harapan kita melihat anak-anak kira berjaya memang ada.

Berjaya dalam kerjaya satu hal. Berjaya dalam hidup satu hal yang lain. Bolehkah kita menjadikan mereka manusia seperti dikehendaki oleh ajaran agama? Terserahlah. Tetapi itulah matlamat kita yang hakiki.