Rabu, Oktober 27, 2010

Majunya Negeri Orang... itulah, kalau banyak berjalan tentu banyak pengalaman...

Baru-baru ini saya,isteri dan seorang anak, ada mengikut rombongan SMKC ke Kedah dan Pulau Pinang yang disertai oleh 35 orang yang terdiri daripada guru-guru kanan, pentadbir dan staff sokongan sekolah, dalam usaha membuat 'bench marking' sekolah-sekolah cemerlang di sana. Saya tak akan pergi jika bekas pengetuanya tak turut serta. Lawatan ini sepatutnya diadakan sebelum dia bersara pada tarikh 9 Oktober 2010. Oleh kerana terlalu sibuk dan jadual yang mungkin ketat ianya tidak dapat dilaksanakan.

Pergilah kami ke sana, bertolak pukul 9 malam dari sekolah menuju destinasi pertama iaitu SMK Permatang Tok Jaya di Butterworth, Pulau Pinang. Perjalan yang jauh itu memaksa kami singgah beberapa kali untuk rehat, makan, solat dan mengisi minyak. Masa yang dilalui agak lama hampir 8 jam. Kami masih sempat bersembahyang subuh di Masjid berhampiran dengan sekolah pada awal waktu, dapat berjemaah bersama-sama seawal waktu subuh. Sebelum ke sekolah rombongan kami sempat bersarapan di rumah seorang bekas guru SMKC yang bertukar ke SMKPTJ tersebut. Alhamdulillah semuanya selesa dan berpuashati. (disambung...)

Sabtu, Oktober 16, 2010

Terkesan Dengar Kuliah Subuh Masjid An-Najihin, Seri Permaisuri

Pada pagi 3 Oktober 2010 (bersamaan 24 Syawal 1431H)saya dan isteri berkesempatan hadir solat subuh dan mendengar kuliah subuh yg disampaikan oleh seorang ustaz lulusan Mesir... Apa yang saya ingat ialah mengenai amalan-amalan sunat yang perlu dilakukan, jangan tinggal. Katanya yang ini nabi buat dan galakan:

1. Puasa 3 hari sebulan pada hari putih: 13, 14, dan 15 hb. setiap bulan

2. Menunaikan solat dhuha sekurang-kurangnya 2 rakaat

3. Menunaikan solat witir sebelum tidur atau selepas bangun tahajjud

Amalan sunat puasa hari Isnin dan Khamis hendaklah dilakukan secara istiqomah. Meneruskan amalan membaca al-Quran, membanyakkan amalan zikir dengan tujuan mendekati Allah lebih kerap dan rapat....

Dalam soal khatam Quran katanya kalau tak mampu khatam satu atau dua kali sehari sepeti yang dilakukan oleh para sahabat Nabi, memadailah sekurang-kurangnya DUA kali setahun kita dapat khatam al-Quran ini...

Pohon kepada Allah memberi kekuatan kepada diri saya, isteri dan keluarga seta kita semua melakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh dan istiqomah.

Selasa, Oktober 12, 2010

Seronoknya Bila Isteri Bersara

Kehidupan ini rasanya menjadi lebih bermakna dan ceria apabila isteri tersayang telah bersara. Rasa kesunyian selama 4 tahun telah berubah. Hari-hari selepas tarikh 10.10.10 begitu menyeronokkan sebab isteri berada di sisi boleh dikatakan pada setiap masa. Sebelum ini pun hidup bersama tetapi dia sibuk dengan tugas-tugas di sekolah, tempat isteri bertugas...

Kalau dulu dalam tempoh 4 tahun bersara, susahnya nak berbicara tetapi sekarang berubah 360 degree. Komunikasi pun tidak terhad. Orang kata bila dah tua ni sensitif tetapi semuanya boleh di atasi. Sebenarnya tidak ada masalah yang tidak boleh di atasi. Bukankah kita dan lama makan garam....

Kami berdua memanjatkan doa kehadrah Ilahi agar kehidupan semasa dan masa depan ini mendapat barokah dan rahmat Allah.

Saya nampak dan rasa tidak ada masalah yang tidak boleh di atasi dengan menjadikan kerjasama dan perbincangan dalam keluarga diadakan pada setiap masa. Masing-masing perlu saling faham memahami, bertolak ansur, menghormati antara satu sama lain.. bagi memastikan keluarga bahagia dan berjaya.

Syukurlah semuanya dapat dinikmati setakat diperlukan. Rasa senang dan harmoni dalam keluarga. Agaknyalah semua ini kerana puncanya bila isteri mula bersara. Walau bagaimana pun semuanya adalah kurniaan Allah jua...

Isnin, Oktober 11, 2010

Masa Berlalu Terlalu Cepat...

Saya merasakan hidup ini sebentar, tetapi telah berada di dunia ini sudah 60 tahun (bersamaan kira-kira 62 tahun, tahun hijrah). Masa berjalan terlalu cepat, tapi sebenarnya hidup sudah lama. Syukurlah kerana Allah memberi kesempatan menikmati alamNya.. dipinjamkan segala kemudahan dan diberikan rahmatnya yang tidak terhingga. Semoga Allah memberi kekuatan kepada diri ini, isteri dan keluarga menunaikan segala tanggung jawab wajib kepadanya. Agar dosa diampun, juga dosa kita, dosa ibu bapa kita, dosa guru-guru kita, dan dosa orang Islam semuanya...

Nikmat yang diberi terlalu banyak: nikmat kesihatan, nikmat ketenangan hati, ketenteraman jiwa, lapang fikiran, kesenangan dari segi harta walaupun tidak kaya, nikmat berfikir dan daya ingatan yang masih kuat, nikmat penglihatan dan deria-deria lain, yang semuanya pemberian Allah sama ada disedari atau tidak disedari...

Nikmat berkeluarga, punyai isteri dan anak-anak yang soleh dan berjaya... alhamdulillah! Sejarah kerjaya dan kehidupan yang sangat menyenangkan dan puas hati. Kita perlu faham dan akur kerana semua itu Allah telah tentukan. RahmatNya adalah ketentuan dariNya, Allah Maha Mengetahui...

Saya fikir kehidupan kita semua ini perlu dibimbing dengan ilmu. Seperti kata sabda Nabi: Kalau kita nakkan dunia, akhirat atau kedua-duanya sekali perlulah dengan ilmu. Oleh sebab itu jangan kita jemu menuntut ilmu, memnghadiri majlis-majlis ilmu, belajar dan mengajar.... perlu diteruskan sehingga hayat dikandung badan...

Peringatan ini adalah amat bermanfaat kepada orang-orang atau anak-anak yang masih muda, bertenaga dan kuat semangatnya... perlulah memastikan hidup ini tidak dipersiakan dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki diri melalu menuntut ilmu. Usahakanlah tanpa jemu sehingga berjaya. Jangan lupa kepada Allah yang memberi kita segalanya.

Masa tidak menunggu kita... masa memang berlalu terlalu cepat... kejarlah ia, ambillah masa dan peluang yang diberi dengan sebaiknya...

Thank You Allah...

Jumaat, Oktober 08, 2010

Tahniah Isteriku Berjaya Juga Akhirnya...

Saya mengucapkan tahniah kepada isteriku yang terasa begitu lama berkhidamat... walhal sama seperti orang lain juga. Mungkin orang terdahulu berkhidmat sehingga umur 56 tahun. Dia dengan rela menyambung perkhidmatan sehingga 58 tahun. Agaknya kerana persetujuannya sendiri melanjutkan perkhidmatan, tidaklah dia bersungut tak puas hati dan terasa jemu. Dia berkhidmat dengan rela dan pasrah...

Berkat kesabaran walaupun telah berkali-kali cuba nak berhenti ketika umur 40 tahun, ketika umur 50 tahun dan terakhir ketika umur 55 tahun.. tetapi semuanya tak menjadi sebab dia termakan sokongan dan galakan dari orang yang dia sayangi. OK teruslah dia berkhidmat sehingga kehari ini.. hari terakhir dia bertugas, sebab esok 9.10.10, hari tarikh lahirnya jatuh pada hari cuti, Sabtu. Hari ini 8.10.10 adalah hari terakhir dia bekerja sebagai pegawai kerajaan....

Banyak majlis diatur, diadakah buat dirinya oleh pelajar dan guru. Saya dengar ada lapan majlis meraikan persaraannya. Katanya, semuanya perlu berucap dan perlu makan.
Alangkah baiknya kalau majlis sebigini berjalan sepanjang tahun sebelum kita bersara....

Setelah 34 tahun berkhidmat...hari ini dia dihantar balik ke rumah dalah majlis send-off daripada guru dan pelajar. Saya di rumah hanya menunggu kepulangannya dengan diiringi oleh hampir 60 orang guru dan kakitangan serta pelajar. Bukan main lagi... didahului oleh 7 buah motorsikal besar daripada kelab Big Bike IPTAA Kuala Lipis.. terima kasih semua... Yang lain menaiki kereta-kereta berwarna putih. Tak tau apa sebab, mungkin mengambarkan keikhlasan mereka kepada isteriku sebagai Pengetua, iaitu ketua mereka yang berkhidmat begitu lama, hampir 10 tahun... terima kasih juga, semuanya...

Sampai di rumah sempatlah buat majlis tahlil dan doa selamat... semoga persaraan isteriku dalam perlindungan Allah, selamat sejahtera dan dirahmati Allah. Saya tumpang seronok sebab ada orang di sisi... adalah tempat bertutur kata... semoga kejenuhan bersara lebih empat tahun terubat pada hari ini...

Tahniah isteriku berjaya juga akhirnya menamatkan perkhidmatan dengan penuh sabar dan yakin... sehingga berjaya dalam kerjayanya yang amat membanggakan... membangunkan Sekolah Menengah Clifford sebagai sebuah sekolah cemerlang dan insyaAllah sebagai sekolah berprestasi tinggi tahun hadapan, 2011. TAHNIAH!

Isnin, September 13, 2010

Apa Punya Bangsa, Apa Punya Manusia ?

Sedih memang sedih melihatkan kejadian terbaru pembunuhan kejam lagi zalim jutawan kosmetik, pemandu, peguam dan pegawai bank baru-baru ini. Dahlah mereka dibunuh dengan cara disiksa, dipukul, ditikam hingga mati kemudian dibakar menjadi abu, selepas itu abunya dibuang pula kebeberapa lokasi sungai supaya bukti hilang... Begitu liciknya penjenayah @ pembunuh tersebut. Celaka punya manusia. Lepas ini giliran dia pula dibunuh. Semoga perbicaraan nanti, Allah akan tunjukkan kezaliman dan kekejaman itu kepada dirinya pula. Kalau nak ikutkan hati dia patut disula dan ditembak sahaja, supaya dia juga merasa sakit siksaan itu... Semua orang merasa marah atas perbuatan tidak berperi kemanusiaan tersebut.

Betul atau tidak adanya bersaingan perniagaan, dengki dan khianat, sifat tamak dan haloba, manusia berhati binatang, manusia kafir dan sesat... patut dihapuskan dari muka bumi Allah ini.

Saya merasa tidak tenang, hati terasa gundah, sedih tak karuan.. kerana apa saudara seagama kita dibuat sebegitu rupa. Kerana wang ketamakan bermaharajalela sehingga hilang fikiran. Perbuatan terkutuk itu banyak memberi kesan kepada anak isteri yang terlibat. Marilah kita doakan kesejahteraan mereka. Semoga Allah memelihara mereka. Tenteramkanlah jiwa dan hati mereka, berikanlah ketabahan yang tinggi kepada setiap mereka yang terlibat. Apakah ini satu musibah semata-mata atau ada pengajaran disebaliknya... Marilah kita renung dan bermuhasabah... Mungkin Allah menuntut kita supaya lebih bertakwa daripada berkiblat kepada harta benda... Kelemahan kita di mana-mana perlu dilihat dan diteliti...

Kepada pihak yang berwajib perlulah lebih bersungguh-sungguh melaksanakan tanggung jawab. Mungkin sistem pengurusan atau prosedur kerja kita perlu diperbaiki atau peraturan dan undang-undang perlu diperketatkan lagi... Adalah lebih baik sistem yang ada dinilai atau ditukar... tindakannya perlu penegasan tanpa kompromi...

Orang kata agama boleh mengawal semua perkara tidak baik. Agama Islam khususnya adalah agama sebenar yang perlu diikuti, supaya apa punya bangsa dan apa punya manusia tidak dipersoalkan lagi.

Selasa, Ogos 31, 2010

Semoga Allah Memberi Kekuatan

Semoga Allah memberi kekuatan
Dalam hidup yang penuh kelemahan, serba kekurangan
Kadang kala warna gelap menutupi sinar ini
Rasa sesak di dada bila semuanya meyerbu minda
Hidup yang terdesak pasti menghilangkan tumpuan
Hidup yang cerah diharapkan sinarnya
Di mana akan didapati semua yang terang dan bersih
Hidup di dunia penuh sirna dan penipuan
Di hujung mengharapkan cerah, tiada masalah
Siapa boleh menolong hambamu yang lemah ini
MKengharapkan manusia, rakan dan sahabat
Entah, tak pasti dapat harapannya
Tanyalah siapa boleh menunaikanya
Semuanya tak yakin atas alasan dan janji manis itu
Kepada siapa nak diharapkan
Kita ada pencipta alam ini
Ya Allah kami mengharapkan sesuatu yang amat besar dariMU
Berilah kami peluang dan kebaikan dunia dan ukhrawi
Semoga Allah Memberi Kekuatan.

Isnin, Ogos 30, 2010

Kerja adalah Ibadah, Ibadat adalah Ibadah

Kita sering menganggap kerja harian kita bukan ibadah. Anggapan kita hanya ibadah yang diwajibkan ke atas kita itu sahaja sebagai ibadah. Sebenarnya tidak. Kedua-kedua kerja seharian dan ibadah itu adalah Ibadah dalam Islam. Semuanya dengan satu syarat iaitu melakukan kedua-duanya dengan niat kerana Allah....

Kita sering juga merasa malas dalam melakukan kerja dan ibadah tersebut kerana ciri-ciri kemanusiaan kita. Manusia ada nafsu dan ada gangguan dari syaitan. Dua faktor inilah yang selalunya membuat kita tidak bersemangat dan menjadi malas, selain dari faktor kesihatan dan gangguan-gangguan lain....

Oleh itu dengan menganggap kerja dan ibadah itu adalah IBADAH dianya akan memotivasi diri kita menjadi lebih rajin dan bersemangat....

Setiap ibadah jika dilakukan dengan penuh ikhlas maka Allah akan memberi ganjaran dan pahala yang setimpal. Apatah lagi ianya dilaksanakan pada bulan ramadan ini. Disepuluh hari terakhir bulan ramadan ini Allah akan menjanjikan ganjaran pahala ibadah yang menyamai lebih daripada 1000 bulan jika melaksana ibadah kita bertepatan dengan masa yang ditentukanNya....

Marilah kita paksakan diri untuk melaksanakan ibadat-ibadat yang wajib dan sunat yang difardukan ke atas kita semua umat Islam....

Khamis, Julai 22, 2010

Di Persimpangan Minda Ada Hikmah

Kita tidak mengetahuinya.. Semuanya adalah kerja dan ketetapan Allah subhanahuwataala. Dulu anakku memohon melanjutkan pelajaran ke luar negara @ Jepun dalam bidang Pergigian. Allah telah tentukan dia tidak berjaya sebab penghantaran pelajar ke luar negara dikurangkan terlalu banyak. Daripada 10,000 pelajar yg ditemuduga hanya dipilih seramai 1500 orang sahaja. Wlaupun ada penambahan dibuat kemudiannya tapi angkanya tak sampai 500 orang.

Bila tidak terpilih ke Jepun, tidak berminat ke Timur Tengah, tapi ada beberapa tawaran lain menanti. Matrikulasi ditolak. Beberapa tawaran kolej swasta juga ditolak. Tingkatan enam tidak begitu diminati. Sementelahan result yang agak baik dia mahu meneruskan cita-citanya di Universiti Malaya. Dia akur dan menerima tawaran Program Asasi Sains Hayat Universiti tersebut. Pilihan dibuat agar cita-citanya menjadi Dentist tercapai. Di sini sedikit sebanyak peranan keluarga juga mempengaruhi.

Sebelum memasuki universiti Malaya ini anakku mengambil kursus bahasa Jepun selama sebulan di UNITEN atas belanja sendiri. Tujuan tak lain tak bukan agar dapat dipertimbangkan permohonan melanjutkan pengajian ke luar negara, Jepun. Memang nasib tidak menyebelahinya kerana pengambilan pelajar untuk kursus itu di Japanese Top University amat sedikit. Allah menentukan hajat sesorang tidak dimakbulkan. Pasti ada hikmah lain yang lebih baik dan sesuai untuk diri kita.

Sekarang ini belajarlah dia di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) bersama 1500 orang pelajar lain. Tentu banyak saingan. Saya harap anakku berusaha gigih untuk berjaya dalam kursus yang ditawarkan iaitu Sains Hayat. Saya percaya dia boleh.

Selepaskan menamatkan kursus bahasa Jepun di UNITEN dulu anakku telah berjaya meletakkan dirinya dalam pancapaian top ten. Oleh kerana itu dia ditawarkan mengikuti pengajian persediaan ke JTU dengan perbelanjaan sendiri. Mana mampu membayar hampir setengah juta. Tawaran didiamkan sahaja. Tetapi ada usaha pihak AJL UNITEN untuk mendapatkan penajaan atau biasiswa. Terima kasih Dr. Nash di atas usaha yang gigih membantu mencari penaja. Juga terima kasih pada En. Abidin. Jasamu diingati.

Setelah belajar hampir dua bulan di PASUM, anakku menerima tawaran untuk persediaan ke JTU di bawah tajaan Mara. Diarah melapor pada 22 Julai 2010. Surat di terima pada 21 Julai 2010 pukul 2.30 petang. Surat tawaran biasiswa tidak disertakan. Banyak borang perlu diisi. Saya di Lpis, anak di KL. Susah berkomunikasi. Petang itu juga telefon En. Abidin mengenai Biasiswa. Dia mengarahkan menghubungi Mara. Bila menghubungi Mara, banyak masalah dilalui...tak taulah, bukan bawah jagaan sayalah, dan tak dapat kepastian dari mereka. Kata Bahagian Penajaan Pelajar ke luar negara, mereka memberi tahu ada taklimat di AJL UNITEN untuk pelajar ke US bukan ke Jepun. Ini mengelirukan saya. Untuk belajar ke luar negara penaja perlu dipastikan dulu. Ini tidak! Tiada dokumen tawaran yg boleh dirujuk. Dengan itu saya, isteri dan anak mengambil keputusan untuk menolak tawaran tersebut. Takut akan berlaku.. yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. No U turn. Diharap anakku faham dan menerimanya dengan hati yang tabah dan terbuka.

Sayang tu memang sayang tetapi banyak masalah mendatang dirasakan. Soal bahasa. Soal kursus berbeza. Soal persekitaran baru. Soal penginapan. Soal rakan taulan. Soal kemudahan yang lain...

Saya harap anakku bertekad untuk mencapai cita-cita tak kira di mana. Bukan soal tempat belajarnya tetapi bidang pengajiannya. Kita mungkin telah terbiasa dengan cara belajar sekarang di UM. Jangka masa diketahui lebih pendek, hanya setahun, berbanding dua tahun di AJL UNITEN. Adalah dikenal pasti lebih mudah meneruskan pengajian di UM tersebut. Terimalah ia sebagai ketentuan Ilahi bukan ada halangan lain. Kalau kita bersungguh-sungguh di mana pun boleh berjaya cemerlang.

Begitulah pengalaman dan cabaran yang diterima. Agaknya inilah yang akan mendewasakan anakku... Semoga hatinya kuat. Semoga usahanya lebih gigih. Semoga kekuatan mentalnya tahan cabaran. Semoga berjaya dalam perjuangan ini.

Jika niat kita diperbetulkan semula, insyaAllah Tuhan akan merestuinya. Semoga Allah akan menunjukkan jalan yang lebih lurus daripada sebelumnya. Bersyukurlah kepadaNya. Berdoalah kepadaNya. Belajar wajib, berdoa itu ibadah. Wallahua'lam!

Selasa, Jun 01, 2010

`Faham dan Jelas Kunci Kejayaan

Kalau kita faham kita tidak akan timbulkan masalah.

Kalau sudah jelas penerangannya kita tak akan keliru lagi.

Sendiri faham lagi baik, akan mudah melaksanakan sesuatu.

Kita perlu jelaskan sesuatu perkara atau tugas dengan sebaiknya.

Kalau pelajar faham dan jelas pengajaran guru, pasti berjaya cemerlang.

Keluarga juga harmoni jika faham dan jelas kepada peraturan dalam rumah tangga.

Masyarakat juga akan hidup harmoni jika cara dan amalan hidup difahami semua.

Dasar dan polisi pejabat mudah dilaksanakan jika jelas dan difahami.

Dasar dan polisi negara juga perlu dijelaskan supaya rakyat faham untuk mengelakkan tidak puashati dikalangan mereka.

Penyokong parti politik juga perlu faham dengan jelas dasar-dasar parti mereka.

Program-program yang menentukan masa depan negara perlu diperjelaskan kepada rakyat supaya rakyat boleh memberi feedback untuk melengkapkan lagi program tersebut.

Untuk melihat dunia ini juga pandangan kita perlu jelas.

Nikmat Allah ialah penglihatan, fikiran dan fungsi pancaindera yang lain yang dikurniakan kepada kita.

Pandanglah kejadian alam ini, fikirkan yang baik. Insaflah yang diri kita ini kerdil berbanding dengan keagungan dan kebesaran Allah subhanahuwataala.

Selasa, Mei 25, 2010

Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM)

PASUM adalah satu nama atau jenama terkenal bagi program persediaan pelajar lepasan SPM untuk mengambil Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya atau universiti-universiti lain yang dipilih pelajar selepas tamat belajar di situ. Dulu tempoh belajar selama dua tahun sekarang dah setahun. Mula program ini sejak tahun 1978.

Di pusat ini pelajar ditawarkan tiga kursus utama iaitu sains hayat, sains fizikal dan alam bina. Tahun ini saja seramai 1,300 orang pelajar mendaftar untuk tiga kursus tersebut. Di antaranya termasuklah anak bongsu yang mendaftar kursus sains hayat. Difahamkan bahawa pelajar yang ditawarkan ke sini adalah di antara 7,000 pelajar terbaik seluruh negara yang tak dapat tawaran ke luar negara untuk tahun 2010 ini. Nampak gayanya semua universiti yang ada menawarkan program persediaan ini terpaksa menerima lebih ramai pelajar tahun ini. Tahun ini hanya seramai 1,500 orang saja berjaya ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara daripada seramai 10,500 orang yang ditemuduga. Fahamlah kita bahawa sekarang negara menghadapi masalah kewangan atau meleset.

Pelajar yang berjaya telah mendaftar pada 23 Mei 2010 yang lalu. Apa nak kata sejak pukul 730 pagi lagi kereta mula sendat, jamm. Manakan tidak kerana jalan yang sempit tidak dapat menampung lebih seribu buah kereta. Rata-rata pendaftaran mengambil masa 4 jam hingga 5 jam sehingga selesai. Rimas kerana panas dan padat. Tidak semua orang arif tentang lokasi dan situasi UM ini. Mendaftar di asrama, tapi taklimat di Dewan Tuanku Canselor (DTC). Walaupun taklimat mula 230 petang tapi pendaftaran masih tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Pengalaman ini mungkin tidak dapat dijangka oleh pentadbir UM. Disambung...

Jumaat, Mei 21, 2010

Masa Berlalu Terlalu Cepat

Zaman sekarang ini kita rasa masa berjalan terlalu cepat, jika dibandingkan dengan masa lalu. Dulu semasa zaman kanak-kanak terasa lama bila nak jadi besar. Agaknya zaman kanak-kanak tidak ada kerja khusus, hari-hari penuh dengan aktiviti bermain. Takde target. Tak buat tak ape. Tak ada orang yang tegur dan gaduh. Kecuali ibu bapa yang berleter kerana perangai kita yang tak baik. Selalunya jika kita budak baik, tyak ada problemlah. Mereka tak kacau. Orang kampungpun tak ganggu kita. Hari-hari buat yang sama, itulah yang menyebabkan terasa lama dan jenu.

Sekarang ini kita dah dewasa, malah dah jadi warga emas. Walaupun dah tak ada kerja khusus kerana besara tetapi banyak juga benda yang perlu dibuat. Siapa kata tak ada kerja. Banyak kerja tapi berbagai-bagai. Orang kata tak menjemukan. Itu nak buat, ini pun nak buat. Kalau dulu diri pun tak dapat diurus dengan sempurna tetapi sekarang oklah, rasa puas hati. Mungkin dulu suruh atau minta orang lain buatkan tetapi sekarang kena buat sendiri. Semuanya perlu dibereskan segera. Rasa tak cukup masa. Masa berlalu terlalu cepat atau kita lembab menguruskannya. Sekarang ini tak ada lagi pakai SKT, jauh sekali dengan NKRA, tak ada sistem khusus. Itulah agaknya menjadikan masa tak cukup kerana tak ada matlamat dan time frame.

Masa berlalu terlalu cepat hanya berasaskan kepada kerja dan situasi di sekitar kita serta apa sistem kerja yang kita lakukan. Walaupun masa berlalu cepat, insyaAllah ianya dapat diuruskan dengan sebaiknya sesuai dengan keadaan dan situasi sekarang.
Ilmu al-Quran terlalu luas, perlu masa dan pengorbanan memahami dan mendalaminya. Tak cukup masa mengkajinya kerana dah terlewat! Perlulah melaksanakan dengan pacuan yang pantas. Masa mengejar kita. Jika lambat kita ketingalan.

Selasa, Mei 18, 2010

Tak Perlu Fikir Apa Nak Tulis

Tajuk, isu, masalah yang mungkin sesuai untuk dikemukakan:

1. Masyarakat harmoni Malaysia

2. Makan di kedai VS makan di rumah

3. Rumah tangga yang rukun damai @ harmoni

4. Selamat dunia akhirat

5. Seronok dan kagumnya mendengar azan

6. Hiburan masa kini melalaikan

7. Aura diri dari segi fizikal, emosi ndan spiritual

8. IQ, AQ, EQ, SQ, PQ and many Q's

9. Jadilah guru cemerlang

10. Insaf memperbaiki diri bukan insaf untuk simpati

11. Mak We, Pak We

12. Gitu-gitu, Gini-gini

13. Variasi hidup melalui berbagai pengalaman dan penglibatan

14. Dunia seni dunia glamour

15. Seni untuk sastera VS seni untuk masyarakat

16. Sekarang ramai orang jahat?

17. Peluang beristeri dua, tiga....

18. Perkara luar biasa jadi biasa bila...

19. Apaq khabar orang di sana

20. Harapan orang di sini

Antara Adriana Ada Isyah

Namamu Adriana
Namamu Isyah
Tersohor bila Allah menghendaki dirimu ada
Sampai masa bila ayah bonda sedia menerima
Menanti dengan penuh syukur
Dan telah ditentukan oleh kehendakNya
Lahir ke dunia yang fana ini
Dan bila nama-nama mu disebut
Adriana! Adriana!
Isyah! Isyah!
Cukupkah dengan menyebut namamu setakat itu
Mustahil cukup
Kerana nama-nama mu diberi berganda
Seorang bernama Adriana Nurhusna
Seorang lagi Isyah Umairah
Semuanya menjadi penyeri hidup ayah bonda
Kedua-kedua dibelai, disayang ayah bonda
Orang lain pun sama, sayang kepada dirimu
Menumpang tawa tangis serta senyummu
Bonda saudara, bapa saudara tak sabar menanti kehadiran di sisi
Bilakah dirimu pulang ke pangkuan Atuk dan Nenek @ Tok Bah dan Tok Wan?
Berkumpul dan bermesra
Bersama mu bersama semua
Nantikan Adriana dan Isyah di sana!


Catatan:

Puisi ini diilhamkan pada Julai 2008.
Tanda kenangan kelahiran dua cucu ku.

Jumaat, Mei 14, 2010

Judi, Judi, Judi, Judi

Judy, Judy, Judy, Judy, I love yuo.. Terkenang kembali semasa duduk di asrama Bukit Residen, masa itu tingkatan satu. Baru masuk asrama. Terpaksa, demi pelajaran (istilah masa itu), sekarang pendidikan. Dalam minda orang tua, di suruh masuk asrama kerana mereka mahu anak mereka pandai. Dalam minda kita, kanak-kanak masa itu, tiada apa yang terlintas pun. Diperingkat umur 12, 13 tahun perlu bersekolah. Nak tinggal di kampung terlalu kecil nak buat kerja kampung cari rezeki. Nak jadi doktor, jurutera, DO, dsbnya tiada dalam kamus minda masa itu. Entah! Apa nak jadi tak tau.

Judy, Judy, Judy, Judy, I love you.. itulah sebahagian prasa atau bari lagu oleh penyanyi Inggeris, Johny Tilitson. Masa itu lagu ini toplah. Di mana-mana di asrama tu, terutama dalam bilik mandi, rioh rendah dengan lagu kegemaran masing-masing. Masa itu tahun 60an, lagu pop melayu tengah banyak, lagu hidustan pun tak kurang. Semua boleh hafal. Masa itu juzuk Amma pun tak beri tumpuan sebegitu. Jauhnya perbezaan tumpuan pelajar asrama masa itu berbanding sekarang.

Judy, Judy, Judy, Judy, I love you.. masa itu ramai kawan senior pandai bahasa Inggeris. Sekolah Clifford menawarkan aliran Inggeris kecuali satu kelas aliran Melayu pada tahun 1963. Kitorang ni termasuklah dalam golongan yang buta Inggeris. Nyanyi boleh. Setakat kata Judy, Judy, Judy, Judy, I love you tu no problem.

Judy, Judy, Judy, Judy, I love you.. masa itu guru asrama, namanya Mr. Robert Fendly. Gur peace corp yang didatangkan dari England. Bahasa Melayu tak retipun. Sengaja tak mahu belajar. Masing-masing takut bila bertemu guru ini. Takut tak pandai cakap orang putih. Macam mana nak maju. Patutlah orang Melayu dengan mudah dijajah Inggeris sebab takut? Sebenarnya banyak lagi faktor kita begitu mudah dijajah.

Judy, Judy, Judy, Judy, I love you.. sekarangpun masih didendangkan. Terbaru lagu judi bola sepak Piala Dunia 2010. Kalau awal merdeka dulu popular dengan judi kebajikan masyarakat, kemudian judi lumba kuda, judi nombor ekor, judi sport toto, dan beberapa lagi. Semuanya dilesenkan @ dibenarkan. Itu belum kira lagi bertaruh laga ayam, bertaruh lumba motor haram, dan teka hujan atau tidak. Memang banyak benda yang tak dibenarkan dalam Islam dilasksanakan oleh kerajaan sekarang. Tahu judi haram tapi buat tak cakna. Nama negara Islam, pemimpin orang Islam tapi dasar menentang arus Islam. Macam mana negara nak barokah. Sebab itu timbulnya banyak gejala sosial, keluarga yang tidak harmoni, kes cerai, kes gaduh, kes bunuh, kes buang bayi, dll yang tak baik berlaku berleluasa.

So judi, judi, judi, judi, I hate you!

Rabu, Mei 12, 2010

Lama Tak Menulis Bukan Merajuk

Ada beberapa alasan mengapa tidak meneruskan catatan sejak April lalu, kini hampir sebulan. Pernah dikatakan dulu, mungkin alasannya sama. Tapi tak apa. Saya pun tak ingat. Ada beberapa sebab seperti berikut:

1. Tiada idea

2. Tak berkesempatan

3. Tumpuan kerja yang selektif

4. Komputer yang baisa pakai ada problem

5. Tiada isu-isu yang mendesak

6. Hujung minggu tiada di rumah. Biasanya masa itu banyak masa terluang.

7. Ada rasa jemu menghadap komputer terlalu lama

8. Penggunaan computer ikut giliran dan belas kasihan

9. Tiada driving force dari dalam untuk menulis

10. Tidak bersungguh-sungguh dan tidak istiqomah dalam kerja @ kurang motivasi?


Cukuplah 10 sebab dan alasan. Itupun dibuat-buat. Nak percaya tak percaya terpulang!
Sebenarnya banyak perkara yang boleh ditulis. Jika kita bertekat, mestilah dilakukan. Lakukanlah hingga berjaya.

Selasa, April 27, 2010

Sepuluh Hari Terlalu Lama

Sepuluh hari lama ke. Ada kata ya. Ada kata tidak. Ada kata sebentar saja. Ada kata tempoh itu sangat menjenuhkan! Terpulanglah. Atau ikut keadaan. Jika seseorang itu merasakan satu hari 1 minit, sepuluh hari sepuluh minit. Sebaliknya kalau satu hari seperti sebulan, sepuluh hari jadi sepuluh bulan. Masanya hampir setahun. Kan lama tempoh itu.

Apakah situasi menyeronokkan rasa sebentar saja, atau jika kita di penjara pastilah rasa terlalu lama. Siksa rasanya jika kita melakukan perkara atau kerja yang kita tidak suka. Berbahagialah kepada pengantin baru, tentu masa dirasakan sebentar saja berlalu. Tak cukup jika cuti diambil sepuluh hari saja, pastikan lebih lama lagi.

Jika kita minat melakukan sesuatu, masa akan dirasakan berjalan terlalu cepat. Kecekapan kita melakukannya sangat diperlukan. Kalau kita tiada kemahiran mohonlan bantuan orang lain. Atau sebaliknya kita bantulah orang yang memerlukan bantuan kita.

Sepuluh hari terlalu lama? Oh tidak! Ianya sebentar saja seperti kita membilang jari jemari kita yang sepuluh itu. Sudahkah kita melakukan sesuatu yang terbaik kepada diri kita dalam sepuluh hari mulai dari sekarang. Atau nak lakukan dalam tempoh seratus hari baru puas hati, seperti banyak yang dilakukan oleh orang sekarang.

Jika kita dapat melakukan kerja untuk tempoh seratus hari hanya dalam tempoh sepuluh hari, maknanya kita sudah terkehadapan, satu meracle. Bukan mustahil. Semua atas usaha kita dan kehendak Allah jua.

Sememangnya kalau kita menunggu akan terasa lama. Jika melakukannya akan terasa sebentar sahaja. Demi masa...beruntunglah orang menghargainya.

Isnin, April 19, 2010

Syukurlah Setiap Apa Yang Dikurniakan...

Lahir sebatang kara
Hiduppun keseorangan
Bila dewasa diberi fikiran
Mahu belajar atau tidak
Mahu menganggur atau bekerja
Mahu membujang atau berkahwin
Mahu hidup sihat atau hidup tak tentu arah
Allah beri kita akal dan fikiran
Ibu bapa, guru dan masyarakat bantu kita
Rezeki ada nikmatilah
Masa ada gunakanlah
Baik buruk pilihlah
Mahu berbakti silakan
Mahu membuat onar fikirkanlah
Mahu malaikat atau syaitan membimbing kita?
Kepada Allah kita memohon keampunan dan restu
Atau sebaliknya, mahu melupakanNya?
Pilihlah yang mana satu
Kan kita sudah dewasa!
Tapi kita perlu ingat
Kita ke dunia ini semuanya dengan kehendak dan restu Allah jua
Apa tunggu lagi
Bersyukurlah kepada Allah di atas setiap apa yang dikurniakan
Kepada kita hamba yang lemah ini.

Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!

Baliklah Ke Kampung Bila Senang

Suka tak suka, kita wajar balik kampung. Tak kiralah kampung kita tu bandar ke atau luar bandar @ desa. Ada sebab mengapa kita tinggalkan kampung. Lebih canggih kata 'home town'. Apa-apalah nak kata. Istilah tak penting. Apa yang penting kita mesti balik kampung.

Apa tujuan balik kampung? Sebab pertama kita tak duduk di kampung, bekerja atau cari makan di tempat lain. Tempat kita bekerja tu mungkin juga kampung atau bandar. Tak kisahlah, yang penting kita mesti balik kampung bila ada kelapangan.

Ada orang rindu emak, ayah. Ada orang rindu tunang, isteri. Ada juga orang rindu ketenangan dan keindahan kampung yang semula jadi tu. Ramai juga balik kampung kerana dia sayang dan seronok suasana yang ada di kampung itu. Suasana aman, ada silaturahim, ramai kengkawan, tidak kurang juga mahu mengimbau kenangan lalu khususnya masa kecil, nostalgialah katakan!

Janganlah lupa diri. Sedikit atau banyak pastinya suasana kampung ada mendidik kita menjadi orang yang berguna atau pandai. Kalau tak berjaya atau kaya pun sekurang-kurangnya kita menjadi manusia berguna dan berjasa. Allah melihat kita, orang kampung menilai kita. Apa yang dilihat ialah ibadah dan amalan serta kebiasaan kita terhadap Yang Maha Esa dan penghuni kampung kita.

Marilah beramai-ramai kita balik kampung! Jom @ Moh!

Ahad, April 18, 2010

Agar Doaku Dimakbul

Setiap kali selepas solat semestinya kita berdoa. Itu lebih afdal. Masa lain pun boleh berdoa. Dah banyak berdoa. Itulah yang baik. Bila berdoa sebenarnya tak kira masa. Yang penting bila berdoa kita selalu ingat Tuhan @ Allah.

Apa doa, apa yang dimohon selalunya berbeza-beza ikut keperluan. Masa kita belajar lain, begitu juga masa bekerja, sudah berkeluarga, baik masa susah atau senang, bermusafir mengerjakan ibadah paling dituntut kita berdoa. Doa sebenarnya adalah senjata kepada orang Islam. Perlu diingat doa saja-saja tanpa usaha tidaklah begitu baik. Suka tak suka kita perlu bekerja keras ke arah apa yang kita hajati.

Banyak syarat. Antaranya taat kita kepada Allah adalah mutlak. Suruhan dilaksanakan. Semua tegahan mesti dijauhi. Kita perlu mengajak orang melakukan kebaikan. Mesti faham dan melaksanakan ajaran Quran dan Sunnah. InsyaAllah jika tanpa jemu berdoa, hajat kita akan dimakbulkan Allah.

Ya Allah makbulkan doaku kepadaMu selama ini....

Khamis, April 08, 2010

Satu Malaysia Di Siber Cafe

Di siber cafe ibarat sebuah negeri @ negara Malaysia. Semua bangsa ada. Matlamat nampak sama tapi agak berbeza sikit. Ada main game, ada berfacebook, ada check email, ada buat kerja dan tugasan pelajaran, ada berhibur saja, ada tengok you-tube, dan ada macam-macam lagi.m

Kerja @ Misi Hampir Selesai

Sejak pagi Isnin lalu saya sudah berada di KL ini. Kerja @ misi tak banyak, tapi perlu diselesaikan. Semuanya kerja @ misi peribadi. Kalau tak mahunya terkonting-konting sorang. Mula dengan hantar anak ke kursus bahasa Jepun, lepastu bayar bil-bil berkaitan, lepastu lagi jalan-jalan cari buku, lepastu pulak tunggu kerja tukar lantai rumah tumpangan di KL ini. Hari ini hampir siap. Esok selesailah agaknya. Lepastu boleh baliklah ke Lepih. He2.

Esok, Jumaat. Budak Syidah tu kena balik juga sebab dia ada majlis kat sekolah lamanya, SMK Tahap. Hari Anugerah Cemerlang sekolah khas untuk pelajar SPM dan STPM. Hujung minggu, oklah dan tak ganggu kursus bahasa Jepun dia. Orang nak beri penghargaan jangan tak layan. Perlu dan mesti hadir.

Bagi diri ini tak mengapa. Ianya satu kerja dan tidak menjemukan. Inilah bakti yang dapat diberikan kepada keluarga. Ianya satu tugas setelah bersara. Sekurang-kurangnya ada aktiviti. Percayalah ianya sangat memberi manfaat. Kalaupun tak jadi pemandu teksi, jadilah pemandu keluarga sendiri.

Tidak begitu!

Rabu, April 07, 2010

Keseorangan Di Kuala Lumpur

Bila keseorangan di Kuala Lumpur terasa benar kekosongan. Sebab ada kerja maka tak terasa kesunyian. Lagipun orang di bandaraya ni memang sibuk. Selalu sibuk. Masa terasa sekejap setiap hari. Masuk arini sudah tiga hari di sini.

Makan tak ada masalah. Ada selera, oklah. Duit perlu ada. Kalau boleh banyak sikit. Nak jimat boleh. Makan ikut timelah. Makanlah ala kadar. Nak rasa masakan isteri baliklah Lipis. Pasti, air tangan isteri tentu sedap. Mak dah takde. Sapu apalah yang ada.

Adanya aku di KL ini sebab ada kerja yang perlu disiapkan. Misi belum selesai. Sebelum ni urus anak ke temuduga JPA. Lepas tu ada sikit renovate rumah, tukar tile yang rosak. Mahal juga kos ganti tile tu. KL katakan. Tak main ratus tapi ribu. Apa boleh buat, terpaksa. Kalau tidak akan jadi lebih teruk. InsyaAllah sehari dua ni selesailah. Lepas itu nak balik Lipis bolehlah. Tapi ada lagi satu misi. Hujung minggu ini anakanda bongsu agaknya nak balik. Tunggulah hari Jumaat ini.

Jumaat pasti balik. Ahad atau pagi Senin pasti datang lagi. No problem!

Selasa, April 06, 2010

Meriah Betul SC Ini

Rasa tak aman tapi seronok. Manakan tidak dah lama tak melayari internet. Biarpun bising dengan pelbagai karenah tapi terpaksa. Ialah terasa terbuka sikit minda. Bukan senyap dalam siber cafe ni. Berdentum dentam, game katakan. Orang muda, belia begitu.

Kalau nak aman duduklah di rumah.

Fikir, zikir.

Doa dan munajat.

Semakin Rindu Bila Pulang

Apa yang rindu dan apa yang pulang
Rindu padaNya
Oh haramain
Bila pulang rasa ketagihan
Bila agaknya bertemu lagi
Dulu aku panjatkan doa
Mahu bertemu lagi denganMU
Sepuluh hari rasa sebentar
Ya Tuhan berilah aku kesempatan lagi
Turunkanlah aku rezeki yang banyak
Semoga aku bersyukur denganNya
Agaknya diri ini semakin rindu bila pulang
barilah aku kesempatan
mensyukuri nikmatMu
Dimana saja aku berada
Khususnya di tanah haramMu ya Allah
Makbulkanlah doaku!

Khamis, Mac 11, 2010

Why Tak Lelap Tidur

Entah mengapa malam tadi aku tak lelap tidur. Entah mengapa. Agaknya ada dua sebab. Sebab pertama minum kopi gingseng itu pun separuh aje. Kedua mungkin disebabkan keputusan SPM anak keluar hari ini. Mungkinkah atau tak mungkin. Rasanya tak ada kaitan.

Satu lagi sebab mungkin aku terlebih tidur siangnya. Semalam letih. Pagi tertidur dua jam. Sepatutnya terlebih rehat baik juga untuk kesegaran mental dan fizikal. Semalam ada juga minum kopi cap cikgu. Boleh tahan kaw nya. Mungkin! Mungkin juga tak mungkin.

Agaknya ada hikmahnya. Kalau tak boleh tidur tu munajatlah kepada Allah. Selepas itu dapat juga melayari alam maya melalui internet. Antara nak tidur dan tak mahu tidur. Sulit juga dibuatnya.

Walau bagaimana pun syukur alhamdulillah taklah rasa mengantuk pada pagi ini. Semoga kekuatan ini berterusan hingga ke petang. Pukul 1030 pagi nak ke Jerantut. Anak nak ambil keputusan SPMnya. Semoga Allah memberkati usahanya.

Siapa yang berdebar? Anak ke atau ibu bapanya. Dulu tak kesah. Sekarang zaman dah berubah. Demi masa depan. Semua kita perlu ambil tahu. Semoga matlamat tercapai. Semoga Allah memberi kekuatan kepada anakku menghadapi realiti ini.

Masa Berkualiti Orang Berkualiti

Kita banyak masa, oleh itu gunakan masa untuk perkara yang berfaedah untuk dunia dan akhirat.

Selalunya orang menepati masa dan gunakan masa dengan berkesan adalah orang yang berkualiti atau orang berjaya.

Kita semua mampu mengubahnya. Jangan sia-siakan masa. Gunakan masa dengan kerja-kerja memberi banyak manfaat.

Kalau tak mahu gagal, berubahlah dari sekarang. Tak perlu tunggu orang. Sendiri mahu buat dan sendiri mahu ingat.

Jika ada kesungguhan pasti berjaya dalam semua bidang yang diceburi. Orang dulu kata masa itu emas, orang sekarang? Masa itu....kehidupan, kekayaan, pengetahuan, dan banyak lagi.

Selasa, Mac 09, 2010

Tong Kosong Perlu Diisi

Tong kosong banyak gunanya kalau ada tujuan menggunakannya. Banyak benda boleh isi. Air boleh, beras, duit, baja, minyak, tepong, gula, garam, buah korma, pasir, simin, buah-buahan tahan lama, dan banyak lagi.

Kalau tong itu diibaratkan seperti otak dan fikiran, memang elok dipenuhkan dengan idea dan ilmu. Kalau otak kosong memang tak guna. Selalu bercakap tanpa sebab dan alasan kukuh sebab kurang ilmu.

Sebenarnya ilmu ini kalau dicari akan semakin banyak yang tak tahu. Oleh itu penuhkanlah tong anda dengan ilmu yang bermanfaat. Jangan lengah lagi. Marilah kita memburunya hingga ketitisan permikiran terakhir.

Khamis, Mac 04, 2010

Di Manakan Ku Cari Ganti

Di manakan ku cari ganti serupa dengan mu. Prasa ini memang senonim degan cakap-cakap orang fanatik? Oh tidak! Kata-kata ini kita selalu dengar sejak tahun enam puluhan atau awal tujuh puluhan lagi. Siapa cakap kalau tidak seniman agung P.Ramlee (anak saya kata masa kecil... P.Momli, heheh).

Apa yang dicari ganti. Banyak benda. Bergantunglah kepada seseorang tu, berharga atau tak berharga, bernilai tinggi atau tidak. Ada nostalgia atau sangat sentimental. Kadang-kadang sukar dapat, gantinya kalau ada tak sama.

Berbagai perkara yang ada kaitan dengan kepunyaan seseorang seperti harta benda, tanaman, binatang peliharan, hatta kawan-kawan dan orang yang disayangi.

Kalau nak dapat ganti selalunya memakan masa. Kalau dapatpun tak sama, mungkin serupa. Sebab itu kadang-kadang orang tak mahu cari ganti lagi sebab serik, tak suka, sedih atau memang dah patah hati.

Kalau nak cari ganti perlu minta tolong dari sahabat dan rakan yang ikhlas nak menolong. Kalau tidak kecewa nanti. Bukan senang orang nak rekemen. Perlu juga buat kajian dan soal selidik. Duit banyakpun tak guna. Yang lebih baik mohon pada Allah, solat istiharah, solat hajat dan lain-lain.

Susah juga yek nak cari ganti nih. Di manakan ku cari ganti... yang patah akan tumbuh. Harap-harap ianya lebih baik dari yang dulu. InsyaAllah.

Rabu, Mac 03, 2010

Doa Usaha Ikhtiar Tawakkal

Doa: Semua orang perlu dan wajar berdoa kepada Allah, kalau tidak ia sombong.

Usaha: Kita perlu berusaha untuk mencapai matlamat atau kehendak, kalau tidak kita
menempah kegagalan.

Ikhtiar: Berusaha mencari jalan mendapatkan hajat itu, kalau tidak kekecewan pasti.

Tawakal: InsyaAllah kejayaan tercapai bila semua langkah di atas dilaksanakan.



Doa Usaha Ikhtiar dan Tawakal adalah DUIT. Duit memang berguna kepada manusia moden.

Bila Kita Pergi Umrah.....

Bila kita pergi umrah kita akan merasakan ni'mat beribadah yang diaturkan oleh Allah kepada ummat Islam, khususnya ummat nabi Muhammad s.a.w. Selain mengerjakan solat wajib dan sunat serta ibadah lain, ibadah umrah ini memerlukan kita melakukan tawaf, sa'i, bergunting serta ziarah tempat bersejarah yang ada kaitan dengan sirah nabi.

Pahala beribadah di Masjidil Haram 100 ribu kali ganda, masyaAllah. Jika di masjid Nabawi pulak pahalanya seribu kali ganda, alhamdulillah. Mana nak cari, dan tak boleh dapat ditempat lain punya. Di sana lebih khusu' dan lebih tumpuan jika beribadah.

Di sana kita boleh memohon ampun atas segala dosa dan memohon doa akan hajat kita ditunaikan kerana ianya lebih mustajab. InsyaAllah doa dan permohonan kita makbul.

Rindu kita pasti ke Baitullah di Makah dan maqam nabi serta raudhah di Madinah. Juga tempat lain yang ada kaitan dengan sejarah perjuangan nabi perlu dilawati, insyaAllah.

Niat kita pergi tentulah kerana Allah. Betapa kerdilnya kita bila melihat dan merenung kebesaran Allah. Rasa banyaknya dosa kita. Semoga ibadah umrah ini dapat menyucikan jiwa yang kotor.

Jom pergi Umrah pada 14 Mac 2010 ni. Semoga Allah selamatkan perjalanan, mudahkan beribadat di sana dan selamat kembali, insyaAllah pada 25 Mac 2010.

Selasa, Mac 02, 2010

Aku Belajar Dari Mereka

Semua orang melalui proses ini, belajar dan mengajar. Semasa bersekolah, guru mengajar kita. Di rumah ibu bapa mengajar kita. Subjek apa-apa yang berkaitan dengan kelangsungan hidup. Kita juga belajar daripada masyarakat, kawan-kawan, mass media dan alam maya atau internet.

Aku mengajar anakku pelbagai. Aku harap mereka dapat mengenal erti hidup. Aku harap mereka berjaya. Semoga mereka dapat mengenal siapa mereka, hubungan mereka dengan Allah dan ibu bapa mereka. Entah sebanyak mana sumbangan diberikan itu, cukupkah atau tidak. Semoga Allah menerimanya.

Apa pula yang aku belajar dari mereka, anak-anakku: ialah kemahiran ICT. Terima kasih anakku. Terima kasih Syidah, Sydan, Bani, Ida, Han dan Yati. Dengan izin Allah, abah dapat berFB, ber e-mail, berblog dan merayau di alam ini... sekadar asas saja pun cukup.

Aku Berada Di Laman Rindu

Aku berada di laman rindu
Asyiknya aku dilamun cinta
Aku yang selalu mengharap
CintaMu yang kudus suci itu
Oh Sayang!
Di mana nak ku dambakan hati ini
Tidak terperi rasa rindu ini
Dunia yang kecil manakan dapatku mencariMu
Tidak semudah itu wahai buah hatiku
Teradang begitu resah di hati ini
Rinduku kepadaMu masih di awangan
Mencari tempat berpaut
Sentiasa kupanjatkan doa
Berilah aku kekuatan mengenal diriMu
Aku mahu mendekatiMu
Seperti aku melihat wajahku
Seperti aku memeluk diriku
Orang kata susah
Oh tidak!
Dimanakah kesenangan boleh kucari
Berikanlah aku jalan
Meleraikan rasa rindu ini
MengenaliMu dan kekasihMu
Satu kemestian
Kerana aku berada di laman rinduMu.

"Ya Allah ampunlah diriku yang banyak berdosa ini
Dekatkanlah diriku kepadaMu
Selamanya...."

Isnin, Mac 01, 2010

Alumni dan Sahabat Satu Sekolah

Kita telah belajar dibeberapa sekolah sejak sekolah rendah hingga ke universiti, itupun kalau masuk. Kalau tidak sampai sekolah rendah atau menengah aje dah cukup. Tentu kita mempunyai ramai kawan. Kepada sekolah ianya menjadi satu legasi kecemerlangan sekolah berkenaan. Banyak sekolah yang berjaya dan ramai muridnya 'menjadi orang' selalunya akan kembali ke sekolah, menghargai pendidikannya, akan berbakti kepadanya. Kepada bekas pelajar masa itulah mereka bersatu semula (reunion) mengumpul kawan-kawan sebaya, senior dan junior mengadakan pelbagai aktiviti sosial atau program membantu sekolah tempat mereka belajar dulu.

Sebenarnya janganlah kita malu mengaku di mana kita belajar dulu. Sekolah dimana kita dididik menjadi manusia oleh guru-guru yang tak pernah kenal jemu. Tidak rugi kalau kita balik ke sekolah sekali sekala. Yang eloknya adakanlah persatuan atau jawatankuasa untuk menguruskan aktiviti kita. Alumni boleh dalam kelompok besar atau kecil-kecilan ikut batch tahun kita keluar atau ikut dekad, se asrama dsbnya.

Banyak aktiviti yang bermanfaat boleh dilakukan. Kalau banyak wang mudah saja, kumpul dan beri sumbangan kepada sekolah atau PIBG atau persatuan-persatuan yang ada di sekolah itu. Sokongan kita sebagai bekas murid amat diperlukan.

Jadikan kita sebagai sahabat sekolah. Persatuan yang berjasa dan dikenang. Satu ketika kenangan manis dan pahit akan menggamit rindu kita untuk kembali semula ke sekolah. Jom!

Jumaat, Februari 26, 2010

Teringat 'Research and Development' Masa Kerja Dulu

R & D actually to keep officers professional busy. R & D is an extra task to improve organization achievement.

The more you give, the more you get

Make thing happen, make thing different

No planning, no working (as a teacher: no planning no teaching.

Amalan ibadatkah atau adat saja

Dalam kehidupan ini semua kita tak terlepas dari melaksanakan tugas-tugas harian. Tugas tersebut boleh dikategorikan sama ada adat atau ibadat. Jika kerja adat atau ibadat itu tidak menyalahi ajaran Islam @ Al-quran, alhamdulillah ok. Bagaimana amalan kita dikategorikan sebagai ibadat atau adat saja? Sama ada kerja ibadat atau adat dikerjakan tanpa niat kerana Allah pasti amalan itu sia-sia dan tak dikira sebagai ibadat. Tentu tiada pahala disisi Allah. Mengapa begitu?

Niat kerana Allah dan keikhlasan penting dalam hidup ini. Memanglah apa yang dikerjakan atau yang kita lakukan adalah atas daya usaha kita sendiri, tapi sebenarnya semuanya dengan izin Allah jua. Oleh itu amalan kerja kita sama ada ibadat atau adat mestilah dilakukan dengan niat kerana Allah.

Lagi satu perkara penting ialah solah kerana ia tiang agama. Jika tidak solah pasti amalan lain yang kita lakukan menjadi sia-sia dan tak diterima oleh Allah s.w.t. - Kesimpulannya solah adalah kunci atau password kepada penerokaan program hidup seseorang.

Cuba lihat kepada kerja-kerja yang kita lakukan berikut, adakah ianya diterima sebagai adat atau ibadat. Katalah niat kita suci kerana Allah. Rujuk contoh kerja berikut:

- gotong royong
- bersanding
- menolong orang
- bekerja membina jalan ke kuil
- bersedekah
- beri nasihat atau arahan merompak
- solat sunat
- ibadah sunat
- mengajar
- bermain bola
- memasak
- menjadi ahli politik
- mencuci kain
- pergi pasar
- mengurus kelab golf
- peniaga internet
- pengusaha karaoke
- mengerjakan haji atau umrah
- berniaga rokok
- menjual mercun
- menjadi perisik atau body guard
- jadi GRO
- menjadi pelacur secara sah
- kerja menarik kereta
- kaki pukul
- pekerja sosial
- menjual daging babi
- menangkap binatang terlarang
- menjadi ahli sukan
- menderma kepada orang bukan Islam

Paling jelas bila kita lakukan kerja tersebut ternyata haram atau ada subhah maka perlulah kita hindarkan kerana salah dan berdosa. Dalam ajaran Islam semuanya amat jelas diberi garis panduan. Berdoalah kepada Allah agar kerja danamalan kita diterima olehNya.

Maulidur Rasul 1431H

Tahun hijrah 1431 hari ini disambut sederhana seluruh negara. Ada menyambut dengan cara berarak, berceramah, berselawat, memperdengarkan bacaan quran, berdiskusi,dll.
Berbabagai cara kita cuba menghayati ajaran Islam. Tidak setakat hanya 'merayakannya' pada hari ini sahaja tetapi perlulah mempelajarinya, menghayatinya dan menyampaikannya kepada orang lain.

Apa tindakan kita pada hari ini? Marilah kita membanyakkan selawat kepada nabi, melihat dan menelusuri sirahnya, melihat perjuangannya mengembangkan agama Islam disemenanjung Arab dan keseluruh dunia. Ya Allah berilah pertunjuk kepada hamba-hamba mu ini mengikut jejak langkahnya.

Al-Quran, al-Hadith, ijmak adalah sumber utama ajaran Nabi Muhammad Sallallahu'alai hiwasallam. Lihat dan jangat tak lihat. Buat jangan tak buat.

Sayangilah Rasulullah lebih daripada yang lain... kerana tidak sempurna iman seseorang itu jika meletakkan nabi dan ajarannya kebelakang.

Khamis, Februari 25, 2010

Elak Kecuaian Elak Kecelakaan

Susah nak cakap sebab kecuaian yang dilakukan adalah kelalaian sendiri. Mula-mula ingat pastu lupa. Lalaikah atau cuai atau memang lupa sebab dah tua. Semua itu perlu elakkan. Sepatutnya pada setiap masa kita perlu rujuk kepada senarai semak. Sepatutnya begitu. Dulu jarang buat tapi sekarang mesti buat.

Nak tau cerita pada pagi tadi selepas subuh aku terus basuh@cuci kereta sebab dah terlalu kotor. Hari ini aku nak pergi kuala lumpur bersama pengetua clifford. Tujuan ke MPM untuk bersama mendengar pengumuman keputusan STPM 2009. Aku tumpang sekaki di atas kejayaan anak murid sekolah Clifford. Tahun ini SMKC masih dapat mengekalkan pencapaian tempat pertama Pahang sudah tiga tahun berturut, ketiga peringkat kebangsaan juga tiga tahun berturu-turut. Tahun ini seorang pelajar terbaik pkt kebangsaan kategori aliran sastera menerima anugerah. Fooh dapat RM1000, sijil dan plak lagi. Lumayan juga. Jomlah kita semua jadi cerdik.

Apa kecuaian yang perlu aku elak akan datang? Pastikan bonet depan kereta tu ditutup rapat untuk mengelakkan terbuka sendiri bila memandu laju. Ingat ye jangan tak ingat. Hari ini berlaku lagi ketika lebih kurang bertolak lima minit dari rumah. Sampai di batu 4 tiba-tiba bonet depan terbuka yang menyebabkan menghalang pandangan, dan menyebabkan kerosakan wiper, cermin depan dan bonet kereta itu sendiri. Kerana itu aku terpaksa berpatah balik menukar kereta lain. Alhamdulillah selamat sampai juga pada waktunya, pukul 1115 pagi. Majlis 1145 pagi.

Kecelakaan apa yang perlu dielak? Dengan izin Allah kemalangan di jalan raya dapat dielakkan. Peristiwa ini memberi banyak kesedaran kepada diriku. Kali kedua pulak tu takkan tak ingat-ingat lagi. Banyakkanlah berdoa, bersabar dan berfikirlah sebelum membuat sesuatu.

Isnin, Februari 22, 2010

Minda Terbuka Pastinya Sinar Minda

Jika minda tertutup ianya bukanlah Sinar Minda. Buat apa nak tutup-tutup minda kita. Walau pun ada prinsip dan pegangan pemikiran tetapi kita perlu menerima pendapat dan pandangan orang lain. Kita tak boleh statik. Dengan erti kata lain kita perlu berubah. Minda yang terbuka boleh mempelbagaikan pandangan dan mesej kita. Jika penulisan, ianya tidak kaku. Inilah kekuatan yang perlu ada pada setiap orang.

Bidang Ilmu Islam Yang Perlu Dikuasai

Dua bidang ilmu Islam yang utama yang sangat perlu kita kuasai adalah seperti berikut:

1. Syariah:

- pengantar kepada syariat Islam
- pengajian al-quran
- pengajian al-sunnah
- Amalan ijtihad
- sistem ibadat Islam
- sistem kekeluargaan Islam
- sistem jenayah dalam Islam
- sistem muamalat Islam
- Syariat Islam dalam masyarakat
- sistem politik Islam
- sistem pengadilan Islam
- Pentadbiran syariah Islam

2. Usuluddin:

- asas akidah
- pengajian tafsir
- pengajian hadith
- sirah rasulullah
- pemikiran Islam
- akhlak Islam
- asas dakwah
- asas akidah lanjutan
- tasawuf
- perbandingan agama
- adab ikhtilaf
- falsafah Islam

Tak kurang penting juga ialah matapelajaran bahasa arab yang sangat perlu dikuasai. Bahasa arab adalah bahasa al-quran, mempelajarinya adalah satu daripada sunnah nabi. Sekarang banyak pusat pengajian menawarkan kursus peringkat sijil, diploma dan ijazah dalam bidang berkenaan. Di antaranya UM, UIA, USIM, dan UKM. Janganlah lepaskan peluang ini. Kalau tak mahu belajar di sini, belajarlah daripada buku-buku kerana 'buku adalah universiti orang ramai'.

Tripot of Time, Teaching and Living

Tripot of Time merujuk kepada masa lalu, sekarang dan akan datang.

Tripot of Teaching merujuk kepada faktor penguasaan ilmu, pedagogi dan minat.

Tripot of Living merujuk kepada keperluan hidup, agama dan hubungan masyarakat.


Oleh itu dalam apa perkarapun carilah tiga perkara penting yang mendasari atau yang menyokong tegaknya sesuatu matlamat. Percayalah kalau kita menjaga dan melaksanakan perkara-perkara penting tersebut, insyaAllah kita akan berjaya.

Marilah kita memikirkan. Asuhlah otak kita berfikir dan mencari penyelesaian kepada apa yang kita fikir atau masalah yang difikirkan. Selamat berfikir!

Saya Masih Ingat Ikrar Guru

Apa yang saya ingat rangkapnya pendek dan padat. Isinya penuh bermakna, padat dan berinspirasi. Sehingga sekarang masih terngiang di telinga. Macam aku janji atau bai'ah kita kepada negara dan maha kuasa iaitu Allah. Guru tugasnya mulia. Dia ibarat cahaya menerangi kegelapan. Mengajak orang keluar dari kesusahan kepada kesenangan.

Marilah menghayati IKRAR GURU berikut:

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami

Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-perinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Rukun Negara adalah mengandungi kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan & kesusilaan.
Lagi satu, apa yang penting kepada kita sama ada guru atau bukan guru adalah NIAT kita berkerja kerana siapa: bos, orang atasan, sianu-sianu atau Allah!

Pekerja atau kakitangan awam berkerja atas arahan dan mengikut kerangka dasar negara. Matlamat yang betul membolehkan pekerja lebih fokus dan bertanggung jawab.
Gaji dan ganjaran yang sesuai perlu bagi menggerak tenaga kerja ke arah sasaran tersebut. Ikrar dan peraturan saja tak cukup.

Ahad, Februari 21, 2010

Falsafah Islam

Falsafah Islam, falsafah Arab, atau falsafah negara Islam? Yang dipersetujui ialah falsafah Islam. Asas pemikiran mestilah berasaskan kefahaman agama Islam dan pemikiran sejagat yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Ada pendapat falsafah bukan dari sebahagian syariat Islam. Ada juda pandangan ianya sebahagian dari ilmu Islam. Quran yang begitu mendalam isinya memerlukan pentafsiran dan falsafah bagi menjelaskan pengajarannya. Semuanya menyuruh kita berfikir!

Hasrat ke Andalusia Tak Kesampaian

Hari ini 21 Februari 2010, hasratku tak kesampaian. Apa yang tak sampai ialah hajat untuk kursus umrah di Andalusia Travel and Tours tak terlaksana sebab terlalu ramai orang. Bangunan tiga tingkat, penuh. Ramai peserta dan bakal tetamu Makkah terpaksa duduk atas tangga. Sepaputnya boleh lihat live atau melalui skrin tv tapi terpassa menelinga saja.

Rezeki kali ini tak kesampaian lagi agaknya. Dahlah cabaran tiada air, mandi di masjid dan lewat sampai lagi kerana masalah tu. Aku memohon kehadrat Ilahi agar memberi kesenangan dan kemudahan kepada aku sekeluarga serta keredaanNya ketika aku berada di Makkah nanti. Agaknya minggu depan lega sikit. Kalau pergi awal, insyaAllah dapat berkursus dengan selesa.

Ya Allah aku mohon keredaanmu dan semoga aku dan keluarga dapat menunaikan umrah dengan selamat dan dalam peliharaanMu, ya Allah. Ampunkanlah daku. Amin!

Sabtu, Februari 20, 2010

Ciri-ciri Guru Cemerlang

Blog terdahulu memaparkan sifat dan ciri insan cemerlang. Kali ini akan menumpu kepada ciri guru cemerlang. Sebagai seorang yang pernah menjadi guru, sesorang yang memilih menjadi guru, dia perlu ada ciri berikut:

- mesti cerdik dan menguasai ilmu yang diajar
- mesti pandai pengajar iaitu menguasai P & P dan tahu ilmu pedagogi
- suka dan minat mengajar
- individu contoh
- punyai ciri-ciri istimewa dan lebih dari orang lain (berketrampilan khas)
- boleh urus diri dan orang lain
- mahir berkomunikasi dan mempunyai hubungan interpersonal yang baik
- menguasai ICT
- serba boleh
- suka berkerjasama
- sikap positif
- sikap proaktif
- mesti kreatif
- mesti innovatif
- menepati masa
- berdisiplin dan berakhlak mulia
- penyayang
- tahan hadapai masalah
- bermuafakat
- suka menyertai
- pandai senyum
- rasa kepunyaan
- berfikiran terbuka
- ada prinsip
- berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang
- yakin diri dan yakin boleh
- sayang profession perguruan
- beri contoh yang baik
- tahu ilmu pentadbiran
- mahir psikologi
- percaya kepada konsep beyond training (GIGO kepada GIPO)

Kalau kita jadi guru cemerlang sekurang-kurangnya ilmu boleh dimanfaatkan untuk orang lain. Hadis kata terputus amalan seseorang itu (apabila mati) melainkan tiga perkara iaitu anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kita, ilmu yang boleh atau telah dimanfaatkan, dan sedekah atau amal jariah.

Jumaat, Februari 19, 2010

Manjaku Tinggal Kenangan

Sedih rasanya bila mengimbau kembali kenangan bersama manja, ketika dia sudah tiada. Tak pasti sama ada manja masih ada atau sudah pergi. Sehingga sekarang sudah hampir seminggu tidak melihat kelibatnya. Memang manja sudah uzur. Dah tak makan hampir sebulan. Ia bertahan hanya dengan meminum air. Dari situlah tenaganya membolehkan ia bergerak tapi sangat lemah. Sebelum hilang dan tak pulang sejak ahad, kira-kira enam hari lalu, ianya sudah beberapa kali tak balik rumah sebab mungkin sudah hilang tumpuan dan tak dapat mengenal pasti rumah ini. Tidak seperti masa dia segar dahulu, pastinya manja akan mengiau jika ia nak pulang atau ketika dia menunggu kita pulang dari perjalanan.

Manja memang baik. Sangat baik. Kehilangannya begitu misteri sebagaimana dia datang ke rumah 10 tahun dulu, sekitar Januari tahun 2000. Oh tidak! Kami sekeluarga masih ingat bagaimana manjanya dia terutama dengan anak kamui yang bongsu, Syidah. Manja sangat marah bila Syidah bersuara kuat, menjerit atau menangis. Ketika itu pasti ia datang mengiau dalam keadaan marah, kadang-kadang mencakar badah atau tubuh Syidah. Sifat baiknya juga terserlah sebagai makhluk kerana ianya tidak jahat dan nakal, sangat pembersih, tak pernah membuang najis merata di rumah, badannya sentiasa licin dan gebu kerana tak pernah berhenti membersih diri kecuali dia tidur dan berehat. disambung...

Sepuluh Segmen Hidup Yang Bermakna Bagiku

Jangka masa yang terlalu panjang jika nak diceritakan. Kalau masa mengizinkan akan kucoretkan di halaman ini atau tempat lain. Memadailah dengan menyatakan seronok dan bermaknanya mengharungi hidup ini. Bila dikira dan diteliti terdapat 10 segmen rentetan peristiwa yang menjadi jalinan cerita dan pengalaman yang begitu bermakna bagiku. Apa dia? Segmen 10 tersebut aku bahagikan ikut 'zaman' 'alam' atau kerangka masa berikut:

1. zaman kanak-kanak
2. zaman sekolah rendah
3. zaman sekolah menengah
4. zaman belajar di tingkatan enam
5. zaman menuntut di universiti
6. zaman bekerja peringkat 1 (berjawatan sebagai guru)
7. zaman bekerja peringkat 2 (berjawatan pentadbir sekolah)
8. Zaman bekerja peringkat 3 (berjawatan pentadbir pendidikan daerah)
9. zaman bekerja peringkat 4 (berjawatan pentadbir institut pendidikan)
10. zaman bersara

Pasti menarik, nantikan!

Khamis, Februari 18, 2010

Bina Insan Bina Manusia

Bina insan bermaksud menjadikan manusia serba lengkap teutama dalam banyak perkara iaitu kita perlu melengkapkan dan membina dari aspek-aspek berikut:

- bina ilmu
- bina sahsiah
- bina disiplin
- bina personaliti
- bina kekuatan fizikal
- bina kecemerlangan
- bina ketrampilan
- bina budi
- bina bahasa
- bina nilai
- bina hati budi
- bina pemikiran
- bina sikap baik dan positif
- bina kematangan
- bina pegangan agamanya
- bina akal, dll

Domain insan cemerlang selalunya merujuk kepada tujuh quotient yang perlu ada pada seseorang iaitu quotient intelek, quotient adversiti, quotient emosi, quotient spiritual, quotient sosial, quotient professional, dan quotient beyond. Tak mungkin seseorang itu mempunyai lengkap ketujuh-tujuh quotient ini, tetapi perlu ada paling kurang sedikit. Quotient yang paling penting ialah intelek atau akal. Ianya ada kaitan dengan penguasaan ilmu pengetahuan. Yang eloknya ia perlu seimbang. Paling kurang empat domain iaitu intelek, rohani atau spiritual, emosi dan jasmani atau adversiti. Inilah unsur yang diterapkan di sekolah sekarang.

Marilah kita bersama menjadikan diri kita manusia yang cemerlang dan bersyukur di atas segala keistimewaan yang ada.

Rabu, Februari 17, 2010

Apa ada pada nombor @ angka

Nombor adalah angka. Ia merujuk kepada bilangan. Asas angka terdiri dari 0, 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8 dan 9. Angka atau nombor boleh memberi pelbagai pengertian. Orang boleh faham bila membaca atau merujuk kepada angka (perangkaan). Ianya lebih bermakna atau berguna bila dipersembahkan dalam berbagai bentuk, analisa dan kesimpulan. Orang boleh membuat keputusan lebih tepat bila merujuk kepada angka.

Banyak guna jika kita menggunakan nombor atau angka. Berikut adalah di antara kegunaannya:
- sebagai perangkaan
- lambang status dan kedudukan
- lambang kemenangan atau kejayaan
- sebagai nasib baik
- menentukan bilangan banyak atau sedikit
- dapat membezakan antara satu dengan yang lain
- nombor memudahkan mencari spt no. rumah, lot tanah
- nombor siri barang atau keluaran
- boleh merujuk tarikh kerana kalender adalah nombor
- loteri dan nombor ekor
- nombor bertuah
- boleh mengenalpasti umur seseorang
- dapat membezakan peristiwa, sejarah lama atau baru
- kedudukan prestasi kepada pelajar
- kekananan dalam perjawatan
- tua muda adalah merujuk kepada angka
- boleh juga merujuk kepada jarak jauh atau dekat
- dan banyak lagi kegunaannya.

Ada orang pentingkan nombor kerana ia boleh membezakan seseorang dengan orang yang lain. Misalnya senarai orang terkaya dunia atau negara, berapa hartanya. Semuanya merujuk kepada angka. Berapa banyak duit dan harta kita berbanding dengan Tan Sri Robert Kouk? Kita ada RM46, beliau ada RM46 billion. Bezanya ibarat langit (ke7 ?) dengan bumi.

Bila Butang Baju Melayu Tidak Sama

Pelik tetapi benar. Apa yang pelik dan apa yang benar. Jika semasa bertugas @ bekerja kita sentiasa berpakaian kemas. Pakaian kita lengkap dengan segala keperluan. Kalau pergi kerja, apa yang kita pakai sangat kemas kerana ada peraturan begitu. Setidak-tidaknya kita malu berpakaian selekeh dan tak kemas. Pandangan luaran mengambarkan identiti kita sebenarnya. First impression! Kalau kita pemimpin di pejabat atau di organisasi lain lagilah perlunya berpakaian kemas dan lengkap. Banyak mata akan memerhati kita, melihat dengan teliti penampilan kita. Bolehkah kita dicontohi atau menjadi contoh kepada mereka iaitu kaki tangan bawahan atau orang ramai. Penampilan kita biar sesuai dengan suasana dan majlis yang kita hadiri. Tidak terkecuali juga apabila kita berada di tempat lain selain di pejabat, seperti di rumah, masjid, pasar raya, ketika melancong, dll perlu berpakaian kemas dan sesuai. Situasi ini mungkin tak terjadi tetapi itulah yang sepatutnya diamalkan.

Tidak mungkin kita lupa kerana kita terdidik begitu, apa yang dibuat telah menjadi amalan hampir seumur hidup. Dari kecil sebagai pelajar sekolah kita mesti berpakaian uniform sekolah, di universiti ada peraturan tertentu berpakaian, bekerja apatah lagi. Suka tak suka kita perlu ikut.

Bila sudah tidak terikat dengan peraturan, khususnya kepada mereka yang sudah tidak bekerja, sudah bersara, atau telah manjadi orang bebas seperti bekerja sendiri, amalan yang dilakukan dahulu sudah tidak dilakukan lagi. Mungkin ada yang melakukannya tetapi bilangannya terlalu sedikit.

Apa yang pelik ialah bila amalan biasa dilakukan selalunya rigid tapi tak lagi diamalkan. Tak apa kot. Apa yang benar ialah tak kesah dengan keadaan penampilan yang berlainan. Contoh satu, pakai suit berbeza antara seluar dan kot. Contoh dua, pakai baju melayu warna seluar berbeza dengan baju. Contoh tiga, begitu juga pakai bush jacket, seluar dan baju berlaian warna. Contoh empat, paling ekstrim berseluar pendek atau berkain sarung tak berbaju bila bergotong royong.

Pokok ceritanya semuanya disebabkan oleh keadaan dan persekitaran yang membolehkan berbuat begitu. Mereka bukan tak tahu dan lupa, tetapi mungkin disebabkan oleh sikap tak apa atau memang kerana ada kekurangan tertentu. Inilah yang berlaku kepada ramai orang yang memakai baju melayu berbeza butang @ butang tak sama disebabkan koleksi banyak tapi entah ke mana tersimpan butang yang serupa.

Adakah ini terjadi kepada anda. Kalau ianya terjadi begitu maknanya anda telah masuk ke alam warga post dewasa.

Selasa, Februari 16, 2010

Malaysia Negara Majmuk

Malaysia negara majmuk merujuk kepada penduduknya yang berbilang bangsa. Ada tiga bangsa atau kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu atau bumiputra (60%), Cina (30%), India (9%) dan lain-lain (1%). Peratus yang diberi mungkin berubah dari masa kesemasa. Jadi apa yang nak dikatakan di sini adalah komposisi kaum yang sedemikian memberi erti bahawa negara ini perlu mengambil kira semua aspek yang berkaitan ketiga-tiga kaum terbesar tersebut. Memang dari segi sejarahnya pembentukan negara ini sebagai sebuah negara merdeka pentadbiran negara telah diwakili oleh ketiga-tiga kaum tersebut. Pengagihan kuasa diberi mengikut peranan masing-masing. Jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri seperti tertakluk kepada perlembagaan mesti di pegang oleh orang Melayu atau bumiputera. Agama persekutuan adalah agama Islam. Sementara agama lain boleh dan bebas diamalkan.

Kekuatan Malaysia memerintah ialah dapat menyatupadukan rakyat negara ini penuh harmoni dan persefahaman. Asas perpaduan ini mula diterapkan dengan jayanya oleh Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Kemudian di teruskan oleh Perdana Menteri kedua, ketiga, keempat, kelima dan sekarang keenam. Berbagai program, dasar dan pendekatan telah dilaksanakan sepanjamg tempoh pentadbiran pemimpin-pemimpin tersebut. Ada yang berjaya dan ada juga yang tidak berjaya.

Perubahan masa dan landskap politik banyak mempengaruhi kejayaan dasar-dasar yang telah dilaksanakan. Perpaduan mula tercabar apabila masing-masing kaum mula mahu mempertahankan hak masing-masing walaupun berbagai usaha dan kompromi dijalankan. Toleransi kaum memerlukan perjelasan yang jujur dan terbuka. Perlaksanaan sesuatu dasar perlulah adil dan meliputi. Pembuat dasar perlulah merujuk kepada sejarah negara dan bangsa Malaysia terdahulu. Apa yang penting rakyat faham latar belakang negara ini. Contoh yang nyata ialah pentadbiran negara berasaskan raja berpelembagan. Perjuangan rakyat menentang penjajah telah dilakukan sejak zaman kerajaan Melaka lagi. Siapa yang memainkan peranan, semuanya perlu diambil kira. Matapelajaran sejarah boleh memainkan peranan sebagai faktor kesedaran kepada rakyat Malaysia.

Dasar-dasar penting seperti Dasar Pelajaran Negara, Dasar Ekonomi Negara, Dasar Sosial Negara, Isu dan Dasar Keselamatan Negara, Dasar Dalam dan Luar Negara, Dasar Perpaduan Negara, dan lain-lain sangat perlu digubal dengan teliti dan diterjemahkan dalam perlaksanan yang sempurna. Faktor penyokong yang tidak kurang penting juga ialah pentadbiran oleh pegawai-pegawai kerajan yang ditugaskan perlulah efisen dan beramanah. InsyaAllah negara akan terus harmoni, maju dan makmur.

Isnin, Februari 15, 2010

Faham Biar Betul-Betul

Selalunya masalah timbul bila orang tak faham. Kekeliruan berlaku bila sesuatu kenyataan atau arahan itu tidak jelas. Orang tak faham bila apa yang dilihat atau dibaca terlalu komplikated bahasanya, ada arahan tapi tidak sistematik, atau kurangnya tumpuan kepada topik tersebut. Ataupun topik tersebut membincangkan soal pokok yang terlalu tinggi nilai ilmunya, contoh falsafah, ilmu mantik atau ilmu dan perkara yang ghaib yang tidak boleh tercapai oleh pemikiran biasa manusia.

Apa-apa pun sama ada merujuk kepada ucapan, tulisan atau artikel, buku, kenyatan bertulis atau lisan, arahan atau penerangan, semuanya bertitik tolak dari kurangnya ilmu dan kefahaman terhadap sesuatu perkara. Usaha mencari dan mendalami ilmu ini wajib dalam Islam. Ianya sangat perlu dalam dunia masa kini, yang tidak ada sempadan ini. Bukan setakat cubit peha kiri paha kanan terasa akan tetapi kesannya mungkin lebih sakit bila kita melaluinya. Pengalaman kita melihat bagaimana pihak tertentu memperbodohkan pihak yang lain dengan mainan hujah dan bahasa serta isi cerita yang penuh penipuan, ada udang sebalik batu. Penjelasan yang diberi mempunyai kepentingan diri atau kelompok. Bagi sebelah pihak yang tiada ilmu pasti terpesona dan kagum, mungkin akan terus percaya. Dari situlah mulanya kebodohan dan kezaliman berlaku.

Kepada orang ingin melakukan kerja seharian jika tiada ilmu dalamm tersebut, kita yakin ia tidak akan berjaya. Kepada pelaksana agama akan menjadi lebih teruk hingga amal ibadatnya tidak diterima sebab tidak sempurna amalanya. Oleh itu perlulah ilmu yang betul dan tepat berasaskan ajaran yang diberi, sama ada melalui alquran, hadis, qias, ijmak ulamak yang taidak meragukan. Kepada pemimpin pastinya ilmu sangat penting kerana kesannya kalau tidak berilmu boleh merosakkan negara dan rakyat jelata. Ekonomi, sistem masyarakat, pelaksanaan projek, hubungan antarabangsa, politik, sosial, dll tidak akan lengkap dan berkesan jika amalkan tanpa ilmu yang sesuai dan mendalam. Langkah dan pendekatan perlu betul.

Kita tak perlu membuang masa dengan membuat andaian sendiri (spt: I think.. My opinion.. ect) akan tetapi sepatutnya kita perlu merujuk kepada sumber-sumber yang boleh dipercayai dan telah dibuktikan. Jika belum ada kita mesti berasaskan kajian. Jika sudah ada kita rujuk sahaja kepada penemuan-penemuan yang ada. Dalam agama misalnya, orang Islam tak perlu bimbang dan keliru lagi kerana rujukannya amat jelas. Contoh empat mazhab yang masyhor iaitu imam-imam Shafie, Hanafi, Hambali dan Miliki telah menerangkan kepada kita dengan lebih jelas dalam bab melaksanakan Islam dan beribadat. Tugas kita ialah mendalaminya dengan yakin. Pastinya jangan dicampur adukkan kecuali darurah dan taklik. Semuanya perlu ilmu.

Itulah sebabnya orang selalu bergaduh dan tidak bersefahaman kerana adanya lompang dan kurangya kita menguasai ilmu.

Ahad, Januari 31, 2010

Syukur Sihat: Semoga Allah Menerima Doa Kita

Kesihatan adalah satu topik yang sering diperkatakan orang kerana ianya ada kaitan dengan kehidupan seseorang dan kita semua. Kesihatan yang baik adalah anugerah Allah. Walau bagaimanapun kita perlu sentiasa berusaha untuk memelihara atau menjaganya dengan memastikan kita memakan makan yang berkhasiat dan seimbang, bersih dan halal. Makan kita perlu dikawal dan tidak ikut nafsu, jangan main bantai aje. Selain itu kita perlu ada buat exercise, biar badan berpeluh sikit, lagi banyak lagi bagus.

Selain itu ada lagi cara boleh menjaga kesihatan menjadi lebih baik. Nampak tak logik dan tak berkesan tapi belum cuba belum tahu. Kalau nak lebih sihat perlu banyak beribadat kepada Allah. Sembahyang, sedekah, berbuat baik, membaca quran, berdoa, zikir, qiamullail, tahajjud, solat hajat, baik degan jiran, merapatkan hubungan persaudaraan, dan banyak lagi yang boleh kita lakukan...

Cubalah mulai sekarang. Pasti berkesan. Semoga sihat dan panjang umur. Dapatlah kita beribadat dengan sempurna. Semoga Allah menerima segala doa kita.

Selasa, Januari 05, 2010

Azam Tahun Baru 1431/2010

Kebanyakan orang atau sebahagian orang bila tiba tahun baru tak kira tahun hijrah atau tahun masehi atau tahun lain-lain anutan agama atau bangsa semuanya peka dengan perubahan atau masuknya tahun baru dan bye-bye tahun terdahulu yang telah pergi meninggalkan kita. Harapan orang semuanya positif agar tahun baru dapat merubah hidup daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik. Ada yang membuat azam baru dan ada yang meneruskan azam yang lalu. Agaknya masih banyak usaha yang diperlukan untuk melaksanakan azam yang lepas. Jika azam baru mahu perlaksanaannya berjaya ianya perlu ada kesungguhan dan usaha yang gigih.

Marilah kita ingat mengingatkan sesama kita bahawa azam dan usaha untuk merealisasikannya tidan ada makna jika tidak disertakan dengan niat kerana Allah, iaitu mengharapkan mardhotillah. Hijrah atau perubahan adalah merupakan proses kehidupan menusia, akan berlaku pada setiap masa dan ketika. Apa sahaja kerja yang dilakukan untuk menambah baik kehidupan ini adalah hijrah. Semuanya perlu bersandarkan kepada niat kerana Allah.

Dalam semua hal kita mengharapkan apa yang dilakukan hari ini adalah lebih baik dari hari semalam dan apa yang dilakukan hari esok lebih baik dari hari ini InsyaAllah tuhan akan makbulkan doa dan usaha kita.