Selasa, Oktober 28, 2008

Bersyukurlah Dengan Kejayaan Dicapai

Untuk mendapatkan kejayaan bukanlah mudah. Apatahlagi kejayaan yang cemerlang. Bidang yang diceburi bergantung kepada tumpuan dan minat seseorang. Berjaya dalam kehidupan berumah tangga, berjaya dalam perniagaan, berjaya dalam kerjaya yang diceburi, berjaya dalam pendidikan, dll boleh dilaksanakan dan dicapai sekali gus atau satu persatu. Semuanya mesti di matlamatkan kepada kebahagian di dunia dan di akhirat. Menunaikan tanggung jawab dan ibadah wajib adalah asas utama yang perlu disempurnakan terlebih dulu. Usaha dan doa perlulah berterusan serta bersungguh-sungguh.

Persekolahan diperingkat sekolah rendah dan menengah telah lama dilalui. Pengajian peringkat pertama universiti pun sudah berpuluh tahun berlalu. Ijazah peringkat sarjana memang menjadi idaman sejak mula bekerja. Dalam tempoh berkhidmat telah dua kali memohon untuk pengajianm sarjana tetapi dek kekangan tugas dan keluarga hajat itu terpaksalah dibatalkan. Sehinggalah hampir bersara digagahkan juga mendaftar untuk program MBA di UUM Kampus Kuala Lumpur. Kerana adanya kudrat dan semangat yang tinggi maka Allah telah makbulkan hajat dan cita-cita itu. Tarikh yang menjadi satu harapan telah terpahat di sanubari kerdil ini pada 18 Oktober 2008. Segulung ijazah sarjana telah dimiliki dan ianya menjadi penggerak dan pendorong untuk maju setapak lagi. Jika diizinkan Allah dan memanglah menjadi cita-cita yang sentiasa tersemat dihati supaya dimakbulkan dapat menggenggam satu lagi ijazah tertinggi terakhir iaitu Doktor Falsafah.

InsyaAllah pada 11 November 2008 ini akan cuba melihat-lihat peluang seterusnya dari Open University Malaysia yang menawarkan program berkenaan dengan syarat dan kemudahan yang sangat menarik. Semoga peluang kali ini lebih menyeronokkan dan lebih memberi kekuatan untuk terus belajar.

Belajar itu wajib. Sesuatu yang boleh mendekatkan lagi kita kepada Allah mestilah diutamakan. Ya Allah makbulkan cita-cita murni hamba mu ini!