Jumaat, April 04, 2008

FITNA Itu Fitnah

Sakit hati dan marah bukan kepalang kepada Geert Wilders yang dianggap syaitan yang bertopengkan pejuang keamanan dan anti keganasan dari Belanda itu. Diri ini terpanggil untuk meluahkan rasa kecewa dan marah kerana video itu secara halus telah menghina Al-Quran dan Islam. Geert adalah pemfitnah yang paling besar. Dia menggunakan ayat Allah itu tanpa memberikan tafsiran dan kaitannya dengan ayat-ayat sebelum dan selepas atau ayat-ayat lain yang berkaitan yang terdapat dalam kitab Allah itu.

Adakah Islam ini menganjurkan keganasan? Jawapannya, tidak. Sebenarnya puak Kristian dan Yahudi itulah penganjur dan penyebab keganasan yang utama sejak zaman berzaman. Saya tak fikir hanya seorang Geert sahaja yang merancang ini semua sedangkan ianya ahli parlimen puak kanan bukan puak kiri. Walaupun Perdana Menteri Netherland tidak bersetuju dengan cadangan Geert Wilders tetapi masih 'membenarkan' atas dasar keterbukaan dan demokrasi. Sejauh mana kefahaman Geert terhadap Surah-surah yang dikemukakan dalam filemnya memang boleh dipertikaikan. Oleh sebab itulah kita anggap pengeluaran filem pendek ini disengajakan dengan tujuan untuk melihat reaksi umat Islam dunia sama ada mereka sensitif atau sebaliknya. Atau pihak barat sudah merasa tekanan oleh meningkatnya bilangan orang Belanda khasnya dan orang Eropah amnya yang menganut Islam sejak akhir-akhir ini.

Dari satu aspek filem ini menjadi satu senjata provokasi kepada negara-negara Islam tetapi dari aspek yang lain ia mungkin menyebabkan ramai orang akan cuba mendekati dan mengkaji isi Al-Quran itu dalam erti dan kefahaman sebenarnya.

Suka tak suka Fitna telah disebarkan melalui internet yang tiada sempadan. Kepada orang bukan Muslim, mereka akan menganggap maklumat yang diberikan adalah benar belaka khususnya dari segi makna dan tafsiran ayat suci yang digunakan oleh Geert. Ditambah pula dengan ilustrasi dan grafik yang berasaskan fakta sebenar berlaku walaupun punca berlakunya masih boleh dipertikaikan. Pada pendapat mereka jika perkembangan Islam ini tidak dapat dibendung maka akan berlaku lagi banyak keganasan pada masa akan datang. Sebaliknya mereka tidak berfikir dan melihat lebih jauh bahawa kewujudan sesuatu agama itu adalah untuk menjadi wadah mengalakkan ke arah kehidupan yang harmoni dan berbaik-baik. Di sinilah nampak begitu prejudinya orang-orang barat terhadap agama Islam.

Tindakan kita ialah perlu menjelaskan kepada mereka melalui pelbagai cara khususnya teknoloji maklumat dan internet. Perang psikologi dan penyebaran maklumat sebenar perlu disegerakan oleh cerdik pandai dan cendikiawan Islam seluruh dunia. Kita harap dengan mesej yang banyak disampaikan nanti akan dapat mempengaruhi pendirian mereka terhadap Islam. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan doa yang berterusan pastinya memberi kesan secara langsung dan tak langsung kepada penyebaran agama Islam di seluruh dunia.

Penyebaran Fitna sudah ditakdirkan. Ianya menjadi cabaran dan ujian kepada umat Islam. Jika ianya dihadapi dengan sabar dengan melihat semula situasi masyarakat Islam sekarang dan dibandingkan dengan kehendak Al-Quran dan berusaha mengubahnya, InsyaAllah Tuhan akan memberi kemenangan kepada umat Islam.

Tiada ulasan: