Jumaat, November 25, 2011

HIJRAH @ PINDAH

Hari esok, Sabtu adalah hari terakhir tahun hijrah, 30 Zulhijjah 1432H. Mulai waktu maghrib esok kita akan masuk ketahun baru kalender Islam, 1 Muharram 1433H. Apa yang kita perlu baca ialah doa akhir tahun dan doa awal tahun... sepatutnya semua ummat Islam wajib membaca doa ini. Bukannya terkinja-kinja menyambut tahun baru seperti tahun baru masehi, 1 Januari setiap tahun. Bila lagi nak berubah ni. Nak tunggu kerajaan, alamatnya semuanya tidak akan tertunai.

Perlu kita faham bahawa HIJRAH bererti PERPINDAHAN. Ianya merujuk kepada dua peristiwa. Pertama hijrah ke Habsyah dan kedua hijrah ke Madinah. Dua peristiwa hijrah ini sangat penting kepada sejarah Islam. Hujrah pertama ialah ialah peristiwa perpindahan orang-orang Islam Mekah secara beramai-ramai ke negara Habsyah ketika mereka dipulau oleh orang-orang Qurisy. Raja Habsyah yang bergelar Najasyi pada ketika itu adalah beragama Kristian, tetapi pemerintahannya adil dan bertimbang rasa kepada orang yang berjuang kerana agama Tuhan. Tujuan orang Islam berhijrah pada masa itu adalah untuk melindungi diri dari kezaliman yang sedang bermaharajalela di Mekah. Mereka berhijrah dalam dua rombongan: pertama seramai 14 orang dan kedua seramai 83 orang lelaki dan 17 orang perempuan.

Peristiwa kedua ialah hijrah orang-orang Islam yang kemudiannya diikuti oleh Baginda Nabi Muhammad (saw) ke Madinah. Tujuan perpindahanya adalah untuk menyelamatkan dakwah Islam yang sudah tidak dapat diperkembangkan lagi di Mekah. Selama 13 tahun berdakwah di Mekah, Nabi Muhammad (saw) dan umat Islam telah menerima tekanan dan halangan dari kaum kafir Qurisy. Langkah ini bukan menunjukkan kekalahan Islam akan tetapi adalah merupakan satu taktik dan strategi Rasulullah untuk mengumpul kekuatan orang Islam. Lagipun penduduk Madinah sangat bersedia menerima kedatangan nabi dan agama Islam. Penduduk Mekah yang berhijrah berkorban meninggalkan Mekah sementara penduduk Madinah sedia berkorban menerima mereka. Penerimaan dan kerjasama antara kaum Muhajirin dan kaum Ansar ini telah memberi nafas baru kepada kekuatan Islam ketika itu, sehigga beberapa tahun selepas itu orang Islam dapat menakluk Mekah semula.
Nabi Muhammad (saw) telah menggunakan masa 10 tahun berdakwah memperkukuh iman umat Islam telah mempastikan negara Islam yang didirikan di Madinah terus berkembang dan kuat.

Untuk melihat kembali kepada sejarah bermulanya tahun Hijrah iaitu tahun bagi kalendar orang Islam, yang dikira bermula dari tahun bermulanya peristiwa hujrah Nabi ke Madinah. Menurut cerita yang sah bahawa nabi Muhammad (saw) telahpun membuat tarikh di dalam surat-suratnya dengan menggunakan tarikh hijrah. Ketika Baginda menulis perjanjian dengan orang Nasara Najran, baginda memerintahkan Saiyidina Ali supaya menulis di bawah perjanjian itu menyebutkan tarikh tahun kelima Hijrah. Tetapi sahabat-sahabat tidak sangat mementingkan penggunaan tahun Hijrah ini kerana bagi mereka sudah ada nama-nama peristiwa tertentu. Apabila tiba kepada zaman pemerintahan Saiyidina Umar, beliau memandang bahawa penetapan tarikh dalam Islam adalah perlu. Beliau kemudian memerintahkan beberapa orang sahabat memikirkan masalah ini. Sahabat kemudiannya bersetuju memilih peristiwa Hijrah ke Madinah sebagai bermulanya kalender Islam memandangkan peristiwa tersebut amat penting. Agama Islam sendiri tegak dan tersebar dengan penuh keagungan selepas Hijrah tersebut.

Tahun Hijrah ini telah dinamakan juga dengan tahun Qamariah kerana ianya mengandungi dua belas bulan menurut kira-kira pusingan bulan. Tiap-tiap satu pusingan ditentukan dengan munculnya hilal (anak bulan sabit).

Tiada ulasan: