Sabtu, Mac 22, 2008

Antara Karamah, Irhas dan Mukjizat

Kepada menusia biasa seperti kita ini mungkin tak bertemulah dengan pemberian ciri-ciri Karamah, Irhas dan Mukjizat tersebut. Tetapi perkara-perkara tersebut tidak mustahil dialami atau dimiliki oleh orang-orang soleh dan bertaqwa. Untuk lebih jelas marilah rujuk kepada keterangan ketiga-tiga tahap pemberian istimewa Allah tersebut kepada hambaNya yang dikehendaki:

Karamah atau Keramat

Keramat adalah perkara-perkara luarbiasa yang berlaku kepada hamba Allah yang beriman denganNya dan taat kepada perintahNya. Orang yang beriman dan taat kepada perintah Allah ini dapat melakukan perkara-perkara luarbiasa. Namun begitu ia tidak pula mengakui dirinya Tuhan, Nabi atau wakil Tuhan.

Salah satu daripada contoh keramat ialah perkara luar biasa yang berlaku kepada Khalifah Umar ibn al-Khattab. Pada satu hari ketika beliau sedang berkhutbah jumaat di atas mimbar masjid, ia terlihat tenteranya sedang dikepung oleh musuh, sedangkan medan perang watu itu jauh dari tempatnya. Beliau pun berkata: "Naiklah ke atas bukit". Perkataan Umar itu dapat didengar oleh tenteranya di tempat terkepung. Merekapun naik ke atas bukit. Apabila tentera ini pulang membawa kemenangan, mereka menceritakan kepada orang Islam di Madinah apa yang terjadi. Mereka benar-benar telah dapat mendengar kata-kata Umar yang menyuruh mereka naik ke atas bukit itu.

Tuajuan Allah memberikan keramat kepada seseorang yang tertentu ialah untuk memualiakan hamba yang berkenaan kerana teguh imannya dan taat setianya kepada perintah Allah dan Rasul.

Keramat kubur, keramat orang-orang fasik, keramat pokok-pokok besar dan sebagainya yang dipercayai oleh sebilangan masyarakat kita hari ini adalah salah dan tidak benar belaka. Kepercayaan demikian boleh membawa kepada syirik yang perlu dijauhi.

Irhas

Irhas ialah perkara-perkara luarbiasa yang berlaku kepada diri orang yang akan menjadi Rasul, tetapi sebelum ia menerima perlantikan menjadi Rasul.

Antara contoh-contoh irhas ini ialah ketika Nabi Muhammad (saw) dan Maisarah pergi berniaga ke negeri Syam bersama kabilah Arab yang lain. Di mana Nabi dan Maisarah berada, mereka dipayungi oleh segumpal awan untuk melindungi mereka dari kepanasan. Kejadian ini berlaku semasa Nabi belum diangkat menjadi Rasul. Begitu juga Nabi Isa (as) boleh bercakap sewaktu ia masih bayi.

Tujuan Allah mengurniakan irhas ini ialah untuk menarik pandangan orang ramai bahawa akan diutuskan tidak lama lagi seorang Rasul Tuhan yang akan membawa petunjuk agama suci kepada umat manusia.

Mukjizat

Mukjizat adalah perkara luar biasa atau perkara ganjil dikurniakan Allah kepada para Nabi dan Rasul. Tujuannya ialah untuk menjelaskan kepada manusia bahawa orang yang mendakwa dirinya sebagai Rasul dan mempunyai mukjizat tersebut maka dakwaannya itu adalah benar.

Mukjizat tidak boleh ditandingi oleh sihir atau sebarang kepandaian manusia, kerana ia adalah kurniaan Allah bukan kerana sebab-sebab kepandaian atau keahlian manusia. Oleh itu manusia tidak boleh mengetahui rahsia dan sebab-sebab berlakunya perkara itu.

Mukjizat terbahagi kepada dua jenis iaitu Mukkjizat Hissi dan Mukjizat Maknawi. Mukjizat Hissi ialah mukjizat yang dapatr dilihat dengan mata kasar atau yang dapat dialami oleh pancaindera yang lima. Contohnya seperti mukjizat Nabi Ibrahim (as) yang dibakar tidak hangus, mukjizat Nabi Muhammad (saw) terpancar air dari celah jarinya, dsb.

Orang-orang yang berada diwaktu dan di tempat berlakunya mukjizat-mukjizat ini dapat menyaksikan dengan mata mereka bagaimana tubuh badan Nabi Ibrahim (as) yang dibakar oleh kaum Namrud. Walaupun unggun api besar dan apinya pula menyala menjilat-jilat, tetapi tubuh badan Nabi Ibrahim (as) tidak hangus. Begitu juga orang ramai dapat melihat dengan jelas bagaimana air terpancar keluar dari celah-cerah jari Nabi Muhammad (saw). Orang ramai dapat minum air tersebut hingga hilang dahaga mereka dan dapat mangambil wudhuk.

Mukjizat Maknawi pula ialah yang hanya dapat difahami dengan daya akal fikiran. Mukjizat jenis ini memerlukan kajian dan penelitian kerana ia tidak dapat dimengertikan dengan kekuatan pancaindera melainkan menggunakan akal fikiran menurut neraca yang sihat dan kajian yang sempurna. Mukjizat jenis ini dinamakan juga Mukjizat 'Akli.

Mukjizat al-Quran adalah satunya Mukjizat Maknawi. Kandungan tatabahasa dan susunan ayatnya sangat indah, yang hanya dapat diketahui apabila seseorang mempelajari dan mengkaji al-Quran itu. Semua manusia tidak dapat mengarang sebuah kitab yang menyerupai kitab al-Quran.

Allah hanya mengurniakan Mukjizat Hissi kepadea Rasul-rasul yang terdahulu. Kepada Nabi Muhammad (saw) dikurniakan kedua-dua mukjizat tersebut.

Tiada ulasan: