Rabu, Mac 19, 2008

Remaja Kita Ke Mana Arah Tujunya

Disatu petang pada 19.3.08, kira-kira jam 3 , semasa saya bersantai di kedai kopi stesyen keretapi Padang Tengku, Kuala Lipis, enam orang pelajar dengan selamba sahaja menghisap rokok secara bergilir-gilir walaupun diperhatikan. Dengan berpakaian sekolah pelajar berkenaan tanpa segan silu menyalakan api rokok dari dapur kedai tersebut. Kemudian apinya dinyalakan sambung menyambung oleh rakan-rakan yang lain dengan gelak ketawa, seronok, bangga, nampak rasa tidak bersalahpun. Bila ditanya tingkatan berapa, jawabnya Tkt 4, hanya badannya saja kecil. Bila ditanya lagi sama ada takut atau tidak kepada guru polan sipolan, jawabnya biasalah, dan mereka mengatakan yang mereka boleh menghisap rokok di luar pagar sekolah. Menurutnya di dalam kawasan sekolah atau masa persekolahan memang mereka tidak merokok. Mentang-mentanglah mereka menganggap saya ini buta peraturan. Patuh kepada undang-undang, konon!

Yang sedihnya semua anak Melayu kita. Kalau pintar tu mungkin boleh dimaafkan sikit? Tapi tahu-tahu sajalah pelajar sebegini memang ada masalah disiplin dan masalah lemah dalam pelajaran. Pasti! Memang pasti. Boleh potong ayam. Tak nampakpun rasa hormat mereka kepada orang dewasa. Minta maafpun tidak. Entahlah apa nak jadi dengan remaja kita. Yang membimbangkan merekalah yang akan mewarisi generasi pemimpin akan datang. Merekalah pelapis warga negara Malaysia di era negara maju.

Itulah kisah segelintir pelajar luar bandar. Pelajar dan remaja bandar tentu lebih maju lagi. Adakah mereka tidak dikawal keluarga? Adakah mereka ada ibu dan bapa? Yatim piatukah mereka? Agaknya kesan dari pengaruh rakan, persekitaran, mass media, TV, Internet, kehidupan yang bebas tanpa kawalan atau kawalan yang dari ibu bapa atau keluarga. Peranan guru mungkin tak berkesan.

Kata orang nak menyelesaikan masalah perlu lihat puncanya. Ada juga orang mengatakan jika dapat punca sekalipun kalau persekitarannya masih tidak terkawal dan tidak kondusif maka susahlah jadinya, akan menjadi tidak berkesan segala langkah dan tindakan yang diambil. Nak harapkan sekolah sahaja tak mampu. Begitu juga nak harapkan keluarga masanya terhad juga kerana masa bersama keluarga terganggu dek ibu bapa yang bekerja. Apatah lagi nak harapkan masyarakat dan jiran, lagi payahnya, sekarang amat longgar dan bebas. Lainlah dizaman tok nenek kita dulu, jiran dan keluarga sekampung hubungannya rapat dan ada tali persaudaraan. Merekalah yang menjadi mata dan telinga kepada anak-anak remaja kita. Siapa berani buatlah, tup-tup dapat sepenampar, hadiah rotan dari ayah atau cubitan bisa ibu jika ada orang yang melapor kelakuan kita yang tidak senonoh. Dulu jaga tepi kain orang boleh diterima khususnya dalam mendidik anak-anak, tapi sekarang engkau-engkau, aku-aku. Jika kita memandai-mandai cuba melaporkan kepada ibu bapanya, belum pasti diberi ucapan terima kasih. Tindakan kita mungkin akan dicemuh dengan kata - apa peduli! Anak mereka baik. Begitu dimanjakan, begitulah rosaknya dan merosotnya akal budi masyarakat kita kini.

Bila dah teruk, dah banyak kes-kes jenayah dan banyak gejala sosial yang negatif baru orang mula tersentak dan menuding jari kepada satu sama lain. Akhirnya ibu bapalah yang menanggung risikonya. Guru-guru sekolah mungkin boleh lepas tangan. Peranan mereka banyak memberi kesan positif kepada pendidikan anak-anak atau remaja kita. Jika didikan agama di rumah dijadikan tumpuan, InsyaAllah dapat mengurangkan masalah-masalah ini. Bukan setakat merokok tapi semuanya boleh di atasi dengan mudah tanpa banyak masalah. Dengan menekankan solat saja boleh memberi impak yang paling berkesan. Tak percaya mulakanlah dari sekarang.

Orang juga berkata dengan adanya kegiatan berfaedah boleh mengatasi masalah remaja. Contohnya kegiatan kokurikulum, permainan, berpesatuan dan menyertai pasukan beruniform seperti dilaksanakan di sekolah-sekolah. Ianya hendaklah diteruskan di luar sekolah. Kita bersetuju tapi pendekatannya perlu mantap dan berkesan hingga mereka boleh menjiwai kegiatan itu dengan penuh yakin.

Mungkin adanya kegiatan yang terancang seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) atau seumpamanya boleh membantu mengurangkan masalah sebahagian remaja yang berpotensi negatif. Atau cara-cara lain yang boleh difikirkan:

  • membuat kerja sukarela
  • Memberi khidmat bantu masyarakat
  • melibatkan diri dengan NGO selepas alam persekolahan
  • memberi penghargaan kepada mereka yang menyumbang kebaikan kepada masyarakat
  • tawarkan latihan atau kursus secara percuma
  • mendekati keluarga remaja yang bermasalah
  • melalui pendekatan agama
  • program motivasi
  • beri peluang pekerjaan
  • peluang belajar hingga ke peringkat diploma dan ijazah

Menyentuh masalah ini, biasanya bila dah terantuk baru tengadah. Oleh itu marilah kita cuba elakkan remaja kita dari terjebak dengan gejala sosial, dadah, jenayah, dan sebagainya dengan berpadu tenaga melaksanakan program-program yang sesuai sebelum berlakunya atau merebaknya kes-kes berkenaan. Kata orang putih, prevention is better than cure iaitu mengawal lebih baik dari mengubatinya.

Tiada ulasan: