Ahad, Mac 23, 2008

Empat Puluh Tahun Bersama Taitoni Airmaster

Tidur baring bersama. Ke hulu ke hilir bersama. Dialah teman hidup yang bayak membantu dalam berbagai aspek kehidupan ini. Sayangnya tak ubah seperti kekasih pertama ditemui. Ku jumpa dirinya di Kuantan sekitar tahun 1968 sewaktu aku melanjutkan pelajaran ketingkatan enam di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART), Kuantan. Lama juga aku bercita-cita memilikinya. Dengan izin Allah dan dengan bantuan biasiswa yang dikurniakan sebanyak RM40 sebulan dapatlah aku meminang Taitoni dengan maskahwin RM60 tunai. Pada waktu itu dikira agak tinggi jugalah perbelanjaannya. Ianya tidak menjadi halangan untukku memilikinya. Maklumlah kasih sejati sudah lekat dihati. Sayangku pada Taitoni Airmaster menyemarakkan kasih tiada tandingannya. Entah mengapa hati ini sangat terpaut padanya. Kenangan manis selepas itu pastinya menggamit banyak nostalgia yang tidak dapat dipadamkan oleh mana-mana peristiwa kecuali satu. Peristiwa yang satu itu akan didedahkan dalam blog ini bila tiba masanya.

Tempoh masa 40 tahun memanglah lama. Kalau manusia matangnya sudah sampai tahap maksima. Empat dekad bersamanya banyak memberi impak positif kepada perjalanan hidup dari dulu hingga sekarang. Manakan tidak selepas itu kita diburu masa. Tidak boleh lalai dan leka sedikitpun. Peperiksaan semi peperiksaan akan dilalui, di antaranya STPM, peperiksaan universiti setiap tahun, persediaan kekuliah, keperpustakaan, temujanji dengan pensyarah, studi petang dan malam, ikuti jadual gerko, riadah, santai dan menonton TV atau wayang dan lain-lain semuanya memerlukan khidmat Taitoni.

Semata cuti penggal persekolahan atau cuti universiti aku takkan lekang berdamping dengan nya. Selalu ke bawa bekerja seperti menoreh getah, cari buah, memancing, cari rotan, menggali lobang tanaman getah, bermain bolasepak, takraw, bola tampar, hoki, tenis, badminton dan bersiar-siar. Nak tahu bagai menjaganya untuk tidak rosak dan mengelakkan kena air, ia dibungkus dalam plastik dan diikat kemas khususnya bila dibawa menoreh atau memancing.

Bukan senang untuk menjaganya dari rosak dan hilang. Empat puluh tahun bukan sekejap masanya. Memang adalah masa dan ketikanya ia hilang kerana tersalah letak, kadang-kadang lenyap sampai tiga empat bulan. Taitoni juga pernah rosak dan tak berfungsi. Jadi terpaksalah hantar servis dan diperbaiki. Setakat ini banyaklah juga ongkos yang perlu dikeluarkan. Agaknya tak kurang dari RM300. Hingga kini tali asalnya telah ditukar sekali kerana tali asal tidak berfungsi dan rosak. Dari segi rupa paras memanglah nampak sedikit pudar. Maklumlah umurnya telah lanjut. Walau bagaimana pun harga dan nilai semasa rasanya tak jatuh dari RM60. Sudah dikira antik katakan.

Tuan-tuan nak tahu walau pun ada sahabat baru seperti Citizen, Rado, Camel dan Timex, tapi tak sama dengannya. Rinduku padanya tetap berbeza kerana nostalgia bersamanya begitu lama masanya. Jasa dan kesetiaanya tidak boleh dipertikaikan. Dimana akan ku cari ganti, kata seniman agung. Sebenarnya ganti telah ada lama di sisi.....

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

rupa2nya taitoni tu seutas jam tgn...hehe..suspen je..glamour dia masuk blog:D

Teruna Pingitan berkata...

Han ada apa yang perlu dinostalgiakan? Tentu ada, tak lain tak bukan komputer riba yang digunakan sekarang ini.

Tanpa Nama berkata...

betul gak..yg tu jelah harta yang ada yang sgt bernilai dan menjadi keperluan...