Rabu, Mac 12, 2008

Jatidiri Bangsa Musnah Dek Bahasa

Betullah orang mengatakan Bahasa Jiwa Bangsa. Budaya sesuatu bangsa sering dikaitkan dengan bahasa yang digunakan oleh bangsa tersebut. Tamadun hakiki selalunya merujuk kepada kemajuan bangsa yang tersebar dan berjaya dek bahasa ibunda yang digunakan oleh sesuatu bangsa itu. Perantaraan komunikasi bukan hanya merujuk kepada pengunaannya di pasar atau dalam masyarakat, akan tetapi saluran yang lebih penting ialah menjadikan bahasa tersebut sebagai medium dalam sistem pendidikan negara itu secara total dan menggunakannya secara wajib dalam urusan pentadbiran negara.

Di sesebuah negara yang mempunyai majoriti bangsa yang besar serta asal usul bernegara yang berasaskan penggunaan bahasa sesuatu bangsa yang dominan seharusnyalah meneruskan kelangsungan penggunaan bahasa kebangsaan negara tersebut, bukan menukar ganti kepada bahasa asing. Asas teras budaya wujud dan kekal terpelihara jika terus menggunakan bahasa rasmi negara. Sebenarnya sudah banyak bukti dibeberapa negara di dunia yang telah maju menggunakan bahasa ibunda mereka dalam semua aspek khususnya pendidikan. Mereka bangga dengan bahasa mereka. Semua rakyat bersatu memartabatkan bahasa rasmi negara mereka.

Jika kita cuba menggunakan secara sebahagian atau menyeluruh pastilah mendatangkan kesan kepada kemusnahan jatidiri bangsa berkenaan kerana sesuatu bahasa itu akan membawa bersamanya budaya bangsa yang menggunakan bahasa tersebut. Setidak-tidaknya minda bangsa negara yang mengimport penggunaan bahasa tersebut dijajah secara langsung dan tak langsung. Rakyat negara berkenaan sering dan suka mengagungkan bahasa asing. Mereka akan memandang rendah kepada bahasa dan bangsa mereka sendiri. Tidak hairanlah akan wujud ketidak-sepaduan bangsa sesebuah negara. Dalam erti kata lain wujud jurang perpaduan antara kaum yang ada dalam sesebuah negara. Matlamat negara akan sukar dicapai kerana tidak ada satu minat bersama dan sifat kepunyaan dikalangan rakyat sesebuah negara.

Penjajahan pemikiran dan budaya adalah faktor paling bahaya kepada keruntuhan sesuatu bangsa. Jatidiri bangsa akan berubah dan musnah dek penggunaan bahasa yang dikatakan banyak membawa kemajuan, tetapi sebenarnya telah membawa bersamanya unsur dan budaya kuning yang merosakkan. Biasanya orang hanya melihat kepada kemajuan luaran tapi pada hakikatnya budaya yang ada beransur terhakis dan musnah dek budaya baru itu.

Oleh itu marilah bersama mempertahankan penggunaan bahasa kebangsaan dalam semua urusan kehidupan di negara tercinta ini. Kepada siapa kita nak mengadu jika tidak kepada diri kita sendiri dan bangsa kita kerana tidak ada lagi orang yang boleh mendengar dan membantu kita walaupun negara telah merdeka.

Tiada ulasan: