Khamis, Mac 27, 2008

Hidup Susah, Berdikari Mematangkan Diri

Semua orang bercita-cita hidup senang. Kalau boleh terus jadi senang. Semua keperluan ada. Tak payah susah-susah mencarinya. Tahap kesenangan yang hendak dicapai tentulah mempunyai kekayaan yang banyak. Kalau ada duit mesti juta-juta, kalau ada rumah mesti besar atau banyak-banyak, kalau harta biar bertimbun, kalau saham sebut saja syarikat, kalau tanah dimana-mana saja ada namanya, kalau isteri mesti cantik dan lawa atau ada dua tiga, kalau sahabat biar kurang, kalau main mestilah golf, kalau pakai kereta tentu yang mahal-mahal, kalau isteri ada perhiasan emas sepuluh tak main, kalau melancung tak main dalam negeri, paling koman Singapura, kalau boleh ada jet sendiri, ada pengawal peribadi dan banyak lagi yang tinggi-tinggi capaianya.

Mungkin orang meletakkan kesenangan yang tidak hakiki sebagai matlamat tanpa menyedari bahawa kesenangan itu palsu belaka. Barakahnya mungkin tidak kesampaian kerana tidak disetai dengan memohon rahmat dan keampunan dari Allah swt. Kesusahan dan masalah hidup yang ditempuhi berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Untuk mencapai matlamat masing-masing pastilah berbeza dari segi tindakan dan usahanya. Ada yang dapat menyelesaikannya sendiri dan ada yang memerlukan pertolongan orang lain. Tahap tindakan, kreativiti, idea, cara berfikir dan usaha melaksanakan aktiviti-aktiviti selalunya akan menjadikan seseorang itu lebih berdikari. Seterusnya dengan mengalami pelbagai rintangan dan halangan yang sentiasa ditempuhi bersama masa yang berjalan pastinya akan mematangkan kehidupan seseorang. Secara peribadinya seseorang itu akan lebih bersyukur kerana apa yang dilaluinya dapat dilaksanakan dan diatasi dengan mudah kerana pengalamannya sentiasa bertambah dek kehidupan yang susah itu.

Ada orang terus jadi senang kerana mewarisi harta keluarganya. Dari satu segi memanglah mudah kepadanya bagi mendapatkan hasrat dan matlamat tercapai. Maklumlah bila ada duit atau harta yang banyak semuanya boleh dibuat dengan mudah. Unsur cabaran kepada mereka mungkin kurang atau tiada langsung. Sifat berdikari juga tidak dapat dialaminya. Seterusnya kematangan diri memerlukan masa yang lebih lama berbanding dengan orang hidup susah. Dari segi emosi mungkin kurang stabil berbanding dengan orang yang biasa menghadapi masalah yang timbul kerana hidup susah. Apa yang penting ialah seseorang itu perlu bersyukur jika matlamt hidup telah tercapai atau mudah dikuasai. Mereka yang susah selalunya lebih merasai rahmat Allah yang dikurniakan kepada mereka berbanding dengan mereka yang hidupnya lebih senang.

Peritiwa dan pengalaman yang banyak dialami oleh mereka yang susah sering menjadi peristiwa pahit manis yang mesti dikenang. Rasa puas akan ada pada mereka. Nostalgia ini akan menjadikan kehidupan mereka lebih seronok. Masalah yang mendatang tidak akan mengganggu mereka kerana mereka boleh menggunakan pengalaman yang lepas sebagai panduan bertindak.
Kesimpulannya bukanlah kira mohon menjadi susah akan tetapi kesusahan dan masalah itu perlu ada untuk kita tangani sewajarnya. Akan wujudlah ciri-ciri kreativiti, innovatif dan proaktif dalam diri seseorang. Semua ciri itu akan memberi keyakinan yang lebih dan itulah sebenarnya sifat matang yang dikehendaki.

Akhir sekali marilah kita sama-sama elakkan dari kemiskinan dan kesusahan yang boleh membawa kepada kekufuran dengan berdoa kepada Allah supaya diberikan kita jalan untuk memperbaiki dan mengatasinya. InsyaAllah Tuhan bersama orang yang patuh dan bertaqwa.

Tiada ulasan: